Flydubai tawar penerbangan terus ke Pulau Pinang

Flydubai tawar penerbangan terus ke Pulau Pinang

PESAWAT milik syarikat penerbangan UAE, Flydubai diberi sambutan tradisi iaitu semburan air ketika tiba buat kali pertama di LTAPP, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pelancong dari luar negara yang ingin ke Pulau Pinang kini mempunyai pilihan baharu apabila syarikat penerbangan milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Flydubai turut menawarkan penerbangan terus ke negeri ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, hari ini. 

Terdahulu katanya, penerbangan sulung Flydubai dari Dubai, ibu negara UAE itu selamat tiba di Pulau Pinang, semalam.

Katanya, sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 3.03 petang itu, pesawat berkenaan terus diberikan sambutan tradisi iaitu semburan air.

”Kami mengalu-alukan ketibaan penerbangan sulung Flydubai ke Pulau Pinang pada hari pertama Tahun Baharu Cina semalam dan ini secara tidak langsung menandakan telah berlakunya satu peristiwa penting dalam industri pelancongan Pulau Pinang ketika ini.

”Untuk pengetahuan, Flydubai merupakan syarikat penerbangan pertama dari UAE yang menyediakan penerbangan terus ke Pulau Pinang dan ia turut menandakan satu permulaan era atau baharu untuk ekonomi kita,” katanya.

Hon Wai berkata, ketika ini, Flydubai menawarkan penerbangan terus setiap hari dari Pulau Pinang ke Dubai, dengan persinggahan singkat di Pulau Pinang untuk penerbangan seterusnya ke Langkawi.

“Flydubai menawarkan pilihan perjalanan yang mudah untuk penumpang dari UAE dan ia menghubungkan penumpang dengan rangkaian penerbangan antarabangsa syarikat ini termasuk untuk ke Pulau Pinang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa kembali ‘bertapak’ di Pulau Pinang dan menyediakan perkhidmatan berkaitan kepada pelancong dari pelbagai negara mulai tahun ini.

“Pada masa ini, beberapa laluan untuk penerbangan antarabangsa ke negeri ini kembali dibuka termasuk dari Guangzhou dan Xiamen (China), Doha (Qatar), Bangkok (Thailand) dan lain-lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN