Farhash saman Chegubard, Afif atas dakwaan fitnah

Farhash saman Chegubard, Afif atas dakwaan fitnah

FARHASH WAFA SALVADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap dua pemimpin Bersatu dan menuntut ganti rugi RM2 juta kerana memfitnahnya memprejudiskan kestabilan dan keselamatan negara.

Plaintif, Datuk Farhash Wafa Salvador yang juga bekas Pengerusi PKR Perak menamakan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan Setiausaha Parti Perikatan Nasional (PN )Selangor, Dr. Afif Bahardin sebagai defendan dalam dua saman yang difailkan berasingan.

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Ahmad Denial, Ruben & Co. pada 22 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, Farhash mendakwa Badrul Hisham telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam satu sidang media bertarikh 24 November 2023.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan pula didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Farshah dalam satu kenyataan media pada 15 November tahun lalu.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menyatakan Farhash adalah Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang menjalankan agensi risikan kebangsaan dan terlibat dengan operasi rahsia dengan pasukan risikan Amerika Syarikat.

Kenyataan-kenyataan itu juga dikatakan menggambarkan Farhash boleh membawa mudarat kepada rahsia negara dan kerajaan serta bersikap negatif, jahat, mempunyai perwatakan liar dan tidak sesuai memegang jawatan pegawai Kerajaan.

Kedua-dua kenyataan berbaur fitnah itu kemudian disiarkan di beberapa laman sosial YouTube, Tik Tok dan Whatsapp yang boleh dilihat oleh individu-individu yang menggunakan aplikasi tersebut di dalam negara mahupun luar negara.

Farhash mendakwa, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan oleh kedua-dua defendan telah memprejudiskan dan merendahkan perwatakan professional, kepimpinan, reputasi dan kredibilitinya.

Plaintif turut mendakwa Badrul Hisham dan Afif telah menjadikan dirinya sebagai alat politik bagi menaikkan reputasi mereka dengan membangkitkan kebencian masyarakat terhadap plaintif menerusi penyebaran maklumat yang tidak benar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi terhadap kedua-dua defendan atau ejen mereka daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut dalam apa jua cara dan medium.

Plaintif turut memohon satu perintah mengarahkan kedua-dua defendan menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf yang akan diterbitkan di media elektronik dan cetak tempatan.

Selain itu, Farhash turut menuntut ganti rugi khas RM1 juta daripada setiap defendan dan ganti rugi am, pampasan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Berdasarkan semakan mahkamah, kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 25 Mac ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN