KLANG: Sanggup menggadai nyawa dengan memanjat bumbung di tingkat lima dan terjun ke dalam parit dekat sebuah rumah flat di Pangsapuri Aman Perdana, di sini adalah antara tindakan nekad Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika kawasan kediaman itu digempur polis, awal pagi semalam.
Tindakan nekad mereka cuba meloloskan diri gagal apabila ditangkap ketika serbuan tersebut.
Serbuan pukul 11 malam kelmarin itu dijalankan sepasukan 300 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jabatan Imigresen Selangor itu membawa kepada penahanan 547 warga asing.
Op Khas Aman 1 lebih enam jam diketuai Penolong Pengarah (Pencegahan) D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap itu turut disertai Batalion 4 dan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Kesemua warga asing berusia 20 hingga 50-an yang bekerja di sekitar kawasan itu antaranya melibatkan warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Indonesia.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi itu bertujuan membanteras pelbagai jenayah yang berlaku di sekitar kawasan tersebut terutama melibatkan PATI.
Jelas beliau, pemeriksaan dijalankan ke atas seramai 726 warga asing yang tinggal di pangsapuri tersebut.
“Tangkapan melibatkan 512 lelaki termasuk warga Pakistan, Sri Lanka, Vietnam dan India.
“Selain itu, seramai 35 wanita asing turut ditahan melibatkan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar,” katanya semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata warga asing itu sedang lena tidur di hampir 100 rumah sewa masing-masing. Mereka termasuk wanita itu bagaimanapun gagal melarikan diri dan diberkas berikutan empat blok pangsapuri lima tingkat berkenaan dikepung rapi pihak berkuasa.
Selain itu, ada daripada PATI berkenaan turut ditahan dalam sebuah kedai runcit di tingkat bawah pangsapuri tersebut.
Menurut Mohd. Shuhaily, pemeriksaan awal mendapati PATI itu melakukan kesalahan Imigresen terutama tiada dokumen perjalanan sah.
“Tiada sebarang rampasan barangan peribadi terhadap PATI yang ditahan dalam serbuan berkenaan. Kes yang diambil tindakan dalam operasi bersepadu itu adalah mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Katanya lagi, semua warga asing itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut. – UTUSAN










