Dosa berganda pelaku maksiat moden - Utusan Malaysia

Dosa berganda pelaku maksiat moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK media sosial mendominasi kehidupan manusia, banyak kejutan berlaku di dunia.

Kebaikan dan kejahatan boleh dilakukan dengan mudah dan licin. Berbagai aplikasi atas talian membantu manusia mengumpul pahala dengan banyak.

Tidak kurang juga munculnya pemudah cara yang menjerumuskan mereka ke lembah hina dosa besar seperti dosa zina, judi, tipu dan sebagainya.

Paling menakutkan, berbagai “aplikasi gelap” dicipta manusia bagi memudahkan kegiatan dosa.

Walaupun mereka mungkin berkerja sendiri membangunan semua apikasi gelap ini, tanpa sedar mereka sebenarnya berkerja secara percuma untuk Iblis yang punyai rangkaian cetus-dosa sedunia dari pusat pentadbirannya. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ عَرْشَ إِبْلِيسَ عَلَى الْبَحْرِ فَيَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَيَفْتِنُونَ النَّاسَ فَأَعْظَمُهُمْ عِنْدَهُ أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً

Ertinya: Sesungguhnya singgahsana (pusat pemerintahan) iblis berada atas laut, maka dia mengutus pasukan tenteranya yang merosakkan manusia, syaitan yang paling dekat kedudukan dengannya adalah yang paling banyak kejahatannya (Sahih Muslim, 2813).

Melihat kepada terkaman ombak dosa dalam media social pada hari ini, boleh jadi jabatan paling aktif di Pusat tadbir Iblis itu adalah jabatan media social dan teknologi maklumat.

Terbaru umat Islam Malaysia dikejutkan berita dakwaan mahkamah terhadap sekumpulan orang Melayu yang terlibat aktiviti promosi persundalan atas talian.

Turut dilaporkan yang didakwa turut menjual rakaman video lucahnya yang beraksi dengan lebih 20 wanita berbagai bangsa.

Tambah parah yang terlibat itu dilaporkan seorang bapa kepada tiga anak. Penulis lebih risau kesihatan mental anaknya itu kelak.

Apalah nasib si anak yang mungkin terpaksa menanggung beban malu berikutan berita tersebut. Belum lagi dikira malu seluruh ahli keluarga yang lain.

Apa pun, penulis percaya pihak Polis melalui Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman tidak bertindak kosong ketika membuat pendakwaan di mahkamah. Jika airnya keruh berkocak, mesti ada sesuatu yang sedang bergolak di dalamnya.

Jika tidak segera bertaubat, para pelaku maksiat atas talian sebegini sebenarnya sedang menanam dosa yang akan dituai bersama sesalan kemudian hari, sama ada di dunia atau di akhirat. Ayuh kita Analisa impak dosa besar yang mungkin tidak mereka sedari.

1) Dosa berzina. Zina adalah dosa besar yang dipandang keji agama sebagaimana firman Allah:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Ertinya: Dan “JANGANLAH KAMU DEKATI ZINA,” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) (al-Isra’ 17:32).

2) Dosa berbangga dan menyebarkan dosa sendiri secara rela. Sabda Nabi SAW:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Ertinya: Semua dosa umatku (boleh) diampunkan Allah melainkan orang yang mengsiytiharkan dosanya. Contoh orang yang mengisytiharkan dosanya adalah seorang lelaki (dan wanita) yang melakukan dosa pada malam. Apabila tiba awal pagi, Allah sudah menutup aibnya itu tapi dia menceritakan dosanya itu kepada orang lain. (Manusia seperti ini sangat malang) kerana dia tidur dengan selamat kerana Allah sudah menutup aibnya tapi bangun paginya dia sendiri membuka singkapan aibnya itu (Sahih al-Bukhari, 6069).

3) Dosa makan hasil haram jika ada yang membeli produk kotor ciptaannya seperti video zina itu (al-Baqarah 2:188 dan al-Nisa’ 4:29). Fenomena gila kemewahan sehingga mengabaikan aspek halal haram adalah suatu benda yang dirisaukan Nabi SAW:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي المَرْءُ بِمَا أَخَذَ المَالَ، أَمِنْ حَلاَلٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ»

Ertinya: Akan sampai masa kepada manusia di aman seseorang itu tidak lagi mempedulikan di mana dia memperolehi hartanya sama ada dari sumber yang halal atau haram (Sahih al-Bukhari, 2083).

4) Dosa mencetus amalan keji yang mungkin disambung legasinya oleh orang lain. Pembina aplikasi gelap pemudah zina atau pelakon lucah yang mempromosi perniagaan jelik sebegini mungkin menjadi pencetus awal dosa ini.

Jika ia disambung-ikut oleh orang lain, maka dosa jariahnya akan terus mengisi akaun sengsaranya. Takutlah amaran Nabi SAW ini:

وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: Dan sesiapa yang merintis (mencetus) dalam Islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu (Sahih Muslim, 2059).

5) Dosa menormalisasikan maksiat sehingga ia dianggap sesuatu yang biasa dalam masyarakat.

Percayalah! Setiap produk pasti akan ada pembelinya, walaupun produk itu merosakkan fizikal, rohani dan mental.

Lihatlah produk najis dadah, arak dan rokok. Ia terus mendapat tempat dalam pasaran walaupun bahayanya jelas dilihat secerah mentari.

Jika normalisasi ini tidak dicantas sehingga akarnya, kebejatan akhlak dunia barat yang menormalisasikan zina akan mulai melanda umat Islam Malaysia.

6) Dosa mencederakan mental kaum keluarga sendiri. Bayangkan beban malu seluruh keluarga jika pendakwaan di mahkamah itu berjaya dibuktikan. Bencana ini jangan dipandang enteng kerana ia bakal mencetus dendam berpanjangan si anak kepada si bapa.

Kepada orang awam di luar, tak perlu diraikan pelaku dosa sebegini dengan tindakan swafoto dan sebagainya. Ia sangat tidak sopan dan tidak kena dengan akhlak Islam.

Jangan sesekali lembut cenderung kepada orang yang zalim (rancak melakukan maksiat dan dosa) kerana ia boleh mengundang sambaran api neraka. Firman Allah:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (113)

Ertinya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Hud 11:113).

Usah salah faham dengan nada keras rencana ini. Ia suatu tindakan benci maksiat yang wajib kita perjuangkan. Pun begitu, perlu kita sedari bahawa kita makhluk Tuhan dan bukannya Tuhan!

Jika bertemu pendosa atau pelaku maksiat, tegur mereka dengan sopan. Tambah lagi dengan doa hidayah untuk mereka bukannya sumpah laknat. Berikan harapan untuknya kerana Allah sentiasa membuka harapan kepada hamba-Nya yang terlanjur:

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar 39:53).

Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN