GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli dari suku kaum Temiar di Pos Balar berdepan bahaya apabila jalan masuk ke penempatan mereka bukan sahaja rosak dan berlubang malah runtuh walaupun sering kali dibaik pulih.
Dakwa penduduk selain faktor musim tengkujuh, kelemahan kualiti kerja yang dilakukan pihak kontraktor memburukan lagi keadaan jalan di laluan tersebut.
Wakil penduduk uduk Pos Balar, Nen Aja, 27, berkata, situasi itu menyebabkan terpaksa menempuh perjalanan melalui jalan tanah merah dan tidak berturap sehingga tujuh jam untuk sampai ke bandar Gua Musang.
“Kebiasaannya kami hanya mengambil masa empat jam untuk ke bandar Gua Musang.
“Harapan kami sebagai orang kampung, pihak berwajib harus membaik pulih jalan yang rosak secepat mungkin. Sebelum ini jalan telah dibaiki tetapi musim tengkujuh menyebabkan jalan kembali rosak teruk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim telah turun padang meninjau laluan utama penduduk Orang Asli Pos Balar.
Katanya, pihak kontraktor diharapkan dapat melakukan kerja dengan amanah serta teliti bagi mengelak kesulitan kepada penduduk Orang Asli yang berulang-alik menggunakan jalan tersebut.
“Kos ratusan ribu ringgit dibelanjakan kerajaan untuk rakyat, tetapi ianya tidak boleh digunakan. Selepas tiga hingga empat bulan baik pulih jalan dilakukan ianya kembali rosak dan lebih teruk daripada sebelum dibaiki.
“Saya berharap untuk masa yang akan datang pihak kontraktor yang terlibat mengambil langkah yang sewajarnya terutamanya dalam menjaga dan menguruskan peruntukan kerajaan ini,” katanya. – UTUSAN










