KANGAR: Ketika tanaman lain berdepan masalah berikutan musim panas, berbeza dengan harumanis yang hasilnya dijangka meningkat musim ini berikutan cuaca panas berterusan di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, musim ini, pengeluaran harumanis dijangka mencecah sehingga 1,200 tan metrik berbanding tahun lalu, 1,189 tan metrik.
Katanya, berdasarkan prestasi semasa, 60 peratus pokok mempelam harumanis sekitar negeri ini telah berbunga dan bakal keluarkan hasil pertengahan April ini.
“Kemungkinan akan ada juga sedikit lagi pertambahan hasil direkodkan selepas ini berikutan masih terdapat pokok-pokok yang diusahakan kelihatan berpotensi untuk berbunga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya menjangkakan harga buah mempelam harumanis pada musim ini sekitar RM35 sekilogram bagi gred A.
Ujarnya, kerajaan negeri juga mengharapkan pengusaha agar tidak mengambil kesempatan dengan memasarkan buah berkenaan pada harga tinggi bagi meraih keuntungan mudah.
“Saya telah arahkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turun padang memantau harga buah mempelam,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya juga menyarankan agar pengusaha harumanis dapat menggantikan pokok-pokok mereka yang berusia dan melakukan tanaman semula bagi menjamin hasil pada masa hadapan. – UTUSAN










