ADUN tidak faham bidang kuasa punca enakmen batal?

ADUN tidak faham bidang kuasa punca enakmen batal?

Antara tugas utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah menggubal undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang didakwa tidak memahami bidang kuasa menjadi punca Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, bagi mengelakkan berlaku pertindihan, ADUN perlu belajar memahami bidang kuasa sebelum menggubal, membahas dan meluluskan undang-undang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, pertindihan itu berlaku kerana ADUN yang buat membuat undang-undang tidak meneliti dan memahami perkara yang sepatutnya.

“Pandangan saya, ADUN mahupun rakyat sendiri kena ambil iktibar dengan apa yang berlaku. ADUN kerja utama mereka menggubal undang-undang, sebab itu dalam bahasa Inggeris mereka disebut sebagai ‘Law Maker’.

“Tugas mereka dalam Parlimen atau DUN untuk bahas, menggubal dan luluskan undang-undang (Akta di Parlimen dan Enakmen di DUN), bukannya sekadar kerja baiki jalan, buat jambatan, lampu jalan ataupun melawat orang mati,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut Nik Saiful Adli yang juga Peguam Syarie Kelantan memberitahu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 merupakan undang-undang digubal oleh manusia.

Katanya, enakmen itu tidak sama dengan undang-undang syariah yang ada di negeri-negeri lain dan berbeza mengikut pemerintah negeri.

“Ia termasuk kategori hukum takzir, iaitu undang-undang dibuat oleh pemerintah, sama seperti peraturan jalan raya, percukaian dan lain-lain.

“Orang cakap senang, pinda sahaja Perlembagaan Persekutuan dan itu betul. Namun, kalau pinda dan meletakkan kesalahan jenayah bawah syariah, maka 16 perkara itu boleh buat.

“Tetapi bagaimana mahu laksanakan?, polis, imigresen, tentera, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Maritim semua bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

“Takkan mahu ubah semua bagi kepada negeri, tak guna ada Persekutuan kalau begitu. Mana bajet mahu tanggung semua tanggungjawab penguatkuasaan itu? Usahkan nak ambil alih kuasa polis, masalah orang buat maksiat dalam kereta berhampiran kawasan lapangan terbang pun tidak mampu diselesaikan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan. – UTUSAN

Selain menjaga kebajikan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga bertanggungjawab menggubal undang-undang untuk negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×