PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melakukan penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah agar kekal utuh serta terus berjalan di Malaysia sebagaimana terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara ini dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang terbatal dan tidak sah pada minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya membuat perancangan yang akan dilaksanakan susulan dengan keputusan kes itu.
“Selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan mahkamah syariah akan terus berjalan di Malaysia.
“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini. Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan mahkamah syariah akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Mohd. Na’im mahu memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah mengenai isu ini,
Beliau juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum berkaitan keputusan tersebut.
Dalam pada itu, mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang dipertikaikan itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen. – UTUSAN










