IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Angeline Koo Haai Yen mencadangkan supaya Kampung Jalan Stesen di Kampar diiktiraf sebagai Kampung Baru yang sah.
ADUN DAP itu berkata, pengiktirafan tersebut akan membolehkan peruntukan bagi meningkatkan infrastruktur di kampung berkenaan dapat disalurkan.
Beliau berkata, syor itu dikemukakan selepas 37 penduduk di Kampung Jalan Stesen berjaya mendapat Notis 5A setelah menduduki kampung itu sejak sekian lama sebelum negara merdeka.
“Sebelum ini, kampung tersebut tidak mempunyai geran, maka Kampung Baru tidak dapat diiktiraf.
“Jadi, selepas Notis 5A dianugerahkan, saya berharap kerajaan negeri boleh mengkaji untuk mengiktiraf Kampung Jalan Stesen ini sebagai Kampung Baru ketiga dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Keranji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah perasmian DUN Perak pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Menurutnya, atas keprihatinan kerajaan negeri, penduduk Kampung Jalan Stesen juga telah diberi diskaun atas premium tanah sehingga setiap rumah hanya dikenakan caj premium nominal sebanyak RM5,000.
Katanya, caj tersebut untuk setiap penduduk tanpa mengira saiz tanah.
“Usaha-usaha ini menunjukkan kerajaan Perak prihatin dan berusaha membantu penduduk yang sekian lama menduduki di tanah kampung dengan memberikan geran kepada mereka yang layak,” katanya. – UTUSAN










