30 pam digerakkan bantu salur air ke sawah - Utusan Malaysia

30 pam digerakkan bantu salur air ke sawah

SEORANG pesawah memukul padi untuk dituai dalam keadaan cuaca panas di Kok Klang, Chuping, Perlis semalam..- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 30 buah pam telah digerakkan bagi membantu menyalurkan air ke kawasan sawah sekitar negeri ini susulan keadaan cuaca panas yang berterusan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, langkah tersebut adalah berikutan masih terdapat banyak tanaman padi sekitar negeri ini berusia bawah tempoh 50 hari dan memerlukan penggunaan banyak air.

“Kita ambil langkah bersama agensi berkaitan bagi membantu petani terjejas dengan cuaca panas ini ketika ini.

“Antaranya dengan menyediakan pam untuk menyalurkan air ke sawah-sawah yang terletak di dalam mahu pun luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, cuaca panas di negeri ini sehingga mencecah 37 darjah celsius menjejaskan industri padi di Perlis dengan hasil dijangka merosot sehingga 50 peratus daripada lima tan metrik perhektar kepada sekitar dua ke tiga tan metrik sahaja.

Malah, setakat ini, kira-kira 90 peratus pesawah di Perlis masih belum menuai hasil.

Cuaca panas melampau itu juga menyebabkan terdapat kawasan sawah padi di negeri ini mula merekah dan kering kontang antaranya seperti di kawasan Kok Klang, Chuping.

Sebagai rekod, pada 9 April 1998, Chuping telah merekodkan suhu tertinggi dan terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius.

Di Perlis merekodkan sebanyak 15,960 pesawah dengan keluasan sawah di kawasan dalam dan luar kawasan MADA ialah seluas 28,033 hektar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN