Umat Islam diseru pulau konsert artis popular UK sokong LGBT

Umat Islam diseru pulau konsert artis popular UK sokong LGBT – Mufti

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Umat Islam di negara ini diseru supaya memulau konsert artis popular dari United Kingdom (UK) yang akan diadakan di negara ini pada Februari nanti kerana artis tersebut dikatakan penyokong tegar komuniti Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, adalah sungguh dikesali penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT terus dibenarkan di negara ini.

”Saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya memulau konsert yang dicadangkan itu. 

”Ingatlah umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara (yang membawa kepada) dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Qur’an,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penganjuran konsert seorang artis lelaki popular dari UK yang bakal berlangsung pada hujung Februari depan iaitu kira-kira dua minggu sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadan.

Artis lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan penyokong tegar LGBT dan turut mengibarkan bendera pelangi berunsurkan LGBT dalam konsert-konsertnya yang dianjurkan di negara lain.

 

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam,  sepatutnya tidak ada ruang kepada penganjuran konsert artis yang mendukung amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah oleh semua agama. 

”Adalah menjadi satu tanggungjawab kerajaan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran (rujuk surah al-Haj: 41).

“Sebagai seorang mufti saya rasa bertanggungjawab untuk menggesa pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi supaya membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau juga memohon kementerian berkenaan agar menghormati pandangan para mufti yang menyatakan hukum syarak.

 ”Larangan terhadap aktiviti LGBT bukan merupakan ijtihad ulama tetapi ia berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al- Quran dan hadis.

”Setiap Muslim tentu mengetahui bahawa agama Islam menolak segala hubungan jenis yang tidak ditegakkan di atas pernikahan yang sah. Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya