PETALING JAYA: “Saya trauma. Ini sebab (buli) saya memang sukar nak berkawan dengan orang lain dan lebih memilih untuk bersendiri sahaja sehingga kini.”
Demikian luahan seorang mangsa buli yang hanya ingin dikenali sebagai Zikri, 24, apabila diminta menceritakan pengalamannya sering dibuli sepanjang zaman persekolahannya.
Jelasnya, beliau sukar mempercayai atau mendekati orang lain dengan tujuan ingin berkawan kerana salah seorang pelaku buli yang menyebabkannya trauma sehingga hari ini adalah merupakan rakan baiknya sewaktu berada di sekolah rendah.
“Dulu yang buli saya adalah orang yang saya anggap kawan sejak kecil, membesar bersama di dalam satu taman perumahan tetapi bila kami masuk ke sekolah menengah, hubungan tersebut renggang kerana dia berkawan dengan kumpulan lain.
“Dia bersama-sama dengan kumpulan tersebut membuli saya seperti sepak terajang, mencuri barang-barang saya dan memalukan saya di depan pelajar lain.
“Dia yang berkawan dengan saya sejak kecil memang tahu kisah-kisah malu atau aib saya. Hanya kerana nak nampak ‘hebat’, dia hebahkan kepada semua.” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam kes terbaharu pada 6 Januari lalu, tular video seorang pelajar lelaki kerana memukul berkali-kali bahagian muka rakannya menggunakan topi keledar dan remaja terbabit sudah ditahan polis.
Video berdurasi 14 saat yang dimuat naik pengguna Instagram @malaysia.daily itu memaparkan seorang pelajar berpakaian sukan sebuah sekolah menengah di ibu negara dipercayai duduk di atas seorang pelajar yang lain di suatu kawasan belukar.
Tidak hanya memaki hamun pelajar yang dibuli, malah menerusi video tersebut pembuli berkenaan turut membuang sampah daun kering yang dikumpulkan ke atas mangsa.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia menjalankan siasatan berkaitan video tular menerusi media sosial melibatkan kes salah laku buli pelajar sekolah bagi memastikan perkara itu diselesaikan segera.
Seorang lagi mangsa yang sebelum ini bersekolah di Seri Kembangan, Amir, 26, berkata, pembuli hanya mahu perhatian sehingga sanggup membuli pelajar yang lebih lemah daripada diri mereka.
Jelasnya, pembuli lebih gemar melakukan tindakannya apabila bersama dengan rakan-rakan sendiri dan tidak apabila berseorangan.
“Kalau kita tengok video berkenaan buli yang tular di beberapa laman media sosial, pasti akan ada orang sekeliling pembuli walaupun mereka tidak turut sama memukul mangsa. Ini yang buat pembuli mahu tunjuk ‘hebat’ sambil disaksikan kawan-kawan sendiri.
“Ia berlaku sejak saya berada di zaman sekolah lagi. Jika mangsa buli membalas pukulan pembuli. Apa awak rasa akan jadi? Sudah pasti rakan-rakannya yang berada di sekeliling akan turut sama memukul mangsa.
“Ada kah kita dengar atau baca berita mengenai satu pembuli pukul dua mangsa? Saya rasa tidak. Apa yang kita selalu lihat adalah 10 pembuli pukul satu mangsa,” katanya.
Tambahnya, kejadian buli ketika ini dilihat lebih parah apabila pembuli tanpa rasa bersalah memuatnaik dan berkongsi klip video yang memaparkan mereka memukul mangsa di laman media sosial.
“Saya tidak tahu apa yang mereka cuba buktikkan? Adakah mahu tunjuk mereka kuat dan hebat semata-mata?
“Adakah mereka tidak sedar bahawa ia amat memalukan apabila kami mangsa buli ini dilihat orang ramai ketika dipukul? Apa lagi jika video kami dibelasah tersebar luas di media sosial? Ini amat menjejaskan kesihatan mental mangsa buli,” ujarnya. – UTUSAN










