PETALING JAYA: “Tipulah kalau saya tidak terkesan, kecaman yang sangat hebat. Cuma dalam setiap doa, saya reda. Jika ini adalah ujian, maka Tuhan tingkatkanlah kesabaran saya.”
Itu jawapan Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin ketika ditanya berhubung serangan kecaman bertubi-tubi lantaran tindakan stesen radio itu tidak menyambung kontrak penyampai radio, Tyzo.
Jelas DJ Lin, dia tidak boleh menyalahkan warganet atas kecaman yang dilemparkan kerana tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sebalik kontroversi tersebut.
“Mereka hanya tahu dan tengok video yang telah dipaparkan. Apa yang berlaku di sebalik semua itu, mereka tidak tahu. Saya tak boleh dan tak patut hukum netizen.
“Tuhan tidak akan menjadikan sesuatu itu tanpa hikmah. Cuma saya percaya, kenyataan sebenar akan diketahui juga nanti. Sebab itu saya tak salahkan netizen.
“Ini adalah fasa kecaman paling hebat sepanjang 25 tahun kerjaya saya. Tiada siapa dapat bayangkan apa yang saya lalui. Tetapi ini adalah ujian Tuhan,” katanya.
Pengelola segmen Suria Cinta itu berkata demikian ketika sidang media Ruang Udara Suria 2024 di sini hari ini.
Sementara itu, DJ Lin dalam pada masa sama terkilan apabila kontroversi yang berlaku turut memberi kesan kepada dua anaknya selepas dikecam bertubi-tubi.
“Saya sentiasa berdoa, satu ketika nanti ada satu kemanisan yang menunggu saya. Keinsafan yang tinggi. Saya seorang ibu tunggal, saya kena kuat.
“Hentaman cacian makian berterusan kepada saya. Malah anak-anak saya sendiri juga terbabit. Bagi saya, sebagai seorang yang ada nilai kemanusiaan, anak saya tidak bersalah,” katanya.










