Thaipusam: Kurangkan pecah kelapa elak pembaziran

Thaipusam: Kurangkan pecah kelapa elak pembaziran

J. Lawrence Dev, 36, menyiapkan kavadi yang ditempah pelanggannya sejak Jun tahun lalu menjelang sambutan Thaipusam di bengkelnya di Taman Rishah, Ipoh, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penganut agama Hindu yang bakal melakukan upacara memecahkan kelapa sempena Thaipusam tahun ini untuk mengurangkan perbuatan tersebut bagi mengelakkan pembaziran.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, wang yang digunakan oleh penganut untuk memecahkan kelapa itu sebaiknya disalurkan bagi memenuhi pelbagai keperluan masyarakat India terutamanya golongan B40.

“CAP telah membuat tinjauan harga kelapa secara rawak pada tahun ini sempena Thaipusam dan penjual kelapa di Pulau Pinang mendakwa terdapat kekurangan bekalan kelapa tahun ini.

“Harga pasaran kelapa ialah RM1.60 sebiji, semasa Thaipusam harga dijangka meningkat daripada RM2.20 kepada RM2.50.

“Oleh itu kami berpandangan tindakan menghabiskan wang untuk membeli beribu-ribu kelapa dan memecahkannya dianggap tidak bijak lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya di sini semalam.

Seramai sejuta penganut agama Hindu dijangka membanjiri Pulau Pinang bagi menyambut Thaipusam yang bermula esok sehingga Jumaat ini di negeri ini.

Menurut Subbarow, upacara memecah kelapa semasa Thaipusam adalah upacara pembersihan yang diamalkan oleh penganut Hindu.

“Ia adalah simbolik menyerahkan ego di kaki Tuhan yang dilakukan dengan penuh tekad dan pengabdian.

“Kelapa yang dipecahkan itu kemudiannya dikumpulkan dan isinya sama ada dimakan mentah atau digunakan untuk memasak,” katanya.

Tambahnya, upacara memecahkan kelapa telah sebati di dalam hati setiap penganut Hindu, namun hendaklah dilaksanakan dengan cara yang betul iaitu dengan memecahkan sebiji kelapa dan ia harus dilakukan dengan penuh keinsafan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN