‘Tak apalah YB Menteri betul, saya harap rakyat Malaysia datang bercuti di Perlis‘

‘Tak apalah YB Menteri betul, saya harap rakyat Malaysia datang bercuti di Perlis‘

PELANCONGAN Perlis terus melonjak dengan lebih 3.2 juta pelancong ke negeri itu direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sebelum ini hanya sekadar membangkitkan persoalan mengenai tiada sebarang maklum balas diterima berhubung peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Ini kerana, Perak dan Melaka yang juga menganjurkan tahun melawat negeri masing-masing dikatakan sudah menerima peruntukan sedangkan Perlis yang pelancongannya sedang melonjak naik tidak menikmati peruntukan khas berkenaan.

Hal yang dibangkitkan Mohd. Shukri bukan berkaitan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk tujuan promosi pelancongan yang semua negeri dapat, sebaliknya permohonan peruntukan khas untuk tujuan naik taraf lapan lokasi pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis itu.

Dakwa Mohd. Shukri sebelum ini, Perak telah menerima peruntukan sebanyak RM2 juta manakala Melaka pula menerima sebanyak RM7 juta namun Perlis belum menerima sebarang peruntukan daripada MOTAC.

Ekoran luahan kekecewaan Menteri Besar itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dua kali mengeluarkan kenyataan balas berhubung perkara berkenaan dengan yang pertama mendakwa ketidakhadiran Exco Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dalam mesyuarat di Putrajaya pada 14 November tahun lalu berhubung saluran peruntukan pelancongan untuk negeri itu.

Seterusnya dalam kenyataan media itu, King Sing memaklumkan pada tahun lalu, sebanyak RM3.5 juta diperuntuk dan disalurkan bagi tujuan promosi pelancongan di Perlis melalui pelbagai acara dan program.

Sebagai respon segera, Mohd. Shukri menafikan dakwaan Wan Badariah tidak hadir sebaliknya Exco Pelancongan tersebut ada pada mesyuarat berkenaan yang disertakan dengan bukti bergambar.

Semalam, King Sing sekali lagi mengeluarkan kenyataan media dengan kali ini mendakwa tiada wakil kerajaan negeri Perlis yang membangkitkan isu permohonan peruntukan khas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancon­gan dan Kebudayaan (JKP­PK).

Kata King Sing, Exco Pelancongan Perlis tidak menyampaikan hasrat Per­lis semasa menghadiri Fes­tival Kraftangan Wilayah Utara di Perlis bersama­-sama Ketua Setiausaha MO­TAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Tegas King Sing kepada Menteri Besar, dengan hanya menulis surat tidak bermakna kementerian berhutang apa-apa kepada anda.

Enggan memanjangkan perkara berkenaan dan terus berbalas kenyataan, Mohd. Shukri hanya mengucapkan terima kasih kepada menteri itu.

“Tak apalah YB Menteri betul. Saya berharap rakyat Malaysia akan datang beramai-ramai melancong ke Perlis untuk membantu kami,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.

Sebagai rekod, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.

Malah, pelancongan Perlis juga semakin melonjak sejak kebelakangan ini dengan setiap kali musim cuti persekolahan atau hujung minggu, negeri itu dipenuhi pelancong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN