Sukar padam memori tsunami

Sukar padam memori tsunami

SEBUAH monumen menggunakan 26 buah bot milik penduduk yang rosak akibat tragedi tsunami masih teguh sebagai simbolik kepada kejadian yang berlaku di Kuala Muda, Kedah, pada 26 Disember 2004.- MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Suasana tengah hari pada 26 Disember 2004 di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda di sini, tenang dengan beberapa penganjuran majlis kenduri kahwin penduduk berlangsung ceria tanpa sebarang petanda berlaku musibah.

Hamidah Che Rus, 60, antara yang memenuhi undangan tuan rumah untuk memeriahkan majlis tersebut. Dia berada di lokasi majlis perkahwinan yang tidak jauh dari rumahnya sejak pagi bagi membantu menyediakan juadah yang dimasak secara bergotong-royong.

Ketika mencedok nasi untuk dijamah, Hamidah yang ketika itu berusia 40 tahun cemas mendengar hiruk-pikuk penduduk yang memaklumkan ombak ‘bergulung-gulung’ dari arah pantai berjarak tidak sampai 300 meter sedang menerpa ke arah mereka.

Dia lantas mencapai tangan anaknya yang ketika itu masih bersekolah rendah dan berlari menyelamatkan diri tanpa menyedari pinggan nasi yang dipegangnya sudah tiada dalam genggaman kerana perasaan takut menguasai diri.

“Saya capai tangan anak dan lari ke kawasan daratan yang lebih jauh dari pantai. Ketika itu semua penduduk tidak tahu apa sebenarnya sedang terjadi, perkataan tsunami pun kami tidak pernah dengar. Apatah cuaca pada waktu itu panas terik.

“Kalau banjir sekali pun mestilah hujan sudah beberapa lama sebelum itu. Dua kali ombak ganas menyerang deretan rumah penduduk yang paling hampir dengan pantai. Ketika itu banyak kenderaan hanyut dan kami bingung memikirkan apa yang sedang berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

HAMIDAH CHE RUS

Hamidah yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di Galeri Tsunami Kota Kuala Muda mengakui, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengingati lagi kejadian itu, apatah lagi mengenang 10 penduduk yang terkorban dalam tragedi hitam berkenaan.

Namun, dek kerana tugasnya di galeri yang menempatkan ruangan pameran dan bangunan-bangunan asal rumah penduduk yang rosak akibat tsunami itu, dia menggagahkan diri membantu pengunjung untuk memahami kejadian itu jika ditanya.

“Selalunya yang datang secara rombongan menaiki bas menghubungi penghulu atau ketua kampung bagi memudahkan pergerakan mereka melawat sekitar tempat kejadian ini. Tetapi yang datang secara bersendirian dengan keluarga masing-masing, kadangkala saya bantu jadi tour guide,” katanya.

KEADAAN rumah penduduk yang rosak dan musnah akibat tragedi tsunami pada 2004 masih dikekalkan di Galeri Tsunami di Kuala Muda, Kedah. – MINGGUAN/SHAHIR NOORDIN

Menurut ibu kepada tiga anak itu, bangunan Galeri Tsunami yang didirikan kerajaan beberapa tahun selepas bencana itu adalah tapak asal rumah kenduri yang dihadirinya ketika musibah itu melanda.

Katanya, ramai pengunjung masih datang ke galeri tersebut selain turut bergambar dengan Tugu Memorial Tsunami pada hujung minggu dan cuti persekolahan walaupun bencana itu sudah melewati ulang tahun ke-19 pada 26 Disember lalu.

Tugu memori kekal

Gelombang tsunami yang menghasilkan ombak besar akibat gempa bumi kuat di perairan Sumatera, Indonesia bukan sahaja melanda Kota Kuala Muda, malah beberapa kawasan lain di negara ini seperti Langkawi dan Pulau Pinang.

SEBAHAGIAN bot nelayan yang rosak akibat dihanyutkan ombak besar semasa tragedi tsunami di Kampung Kuala Tepi Sungai, Sungai Petani, Kedah, pada 2004 – ARKIB MINGGUAN MALAYSIA

Walaupun hanya menerima ‘tempias’ bencana alam itu, penduduk Kota Kuala Muda khususnya, sudah berasa kesan besar dalam hidup mereka sehingga menjadi memori kekal yang sukar dilupakan sehingga ke hari ini.

“Peristiwa ini sudah lama berlalu dan banyak mangsa sekarang telah melupakannya tetapi apabila ditanya, ‘automatik’ terbayang semula kejadian itu,” kata Abdul Wahab Zainol, 72, yang juga tinggal di Kampung Kepala Jalan.

Katanya, dia tidak lagi teruja meraikan sambutan ulang tahun peristiwa tersebut seperti beberapa tahun selepas kejadian itu, namun masih menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil kepada mangsa yang terkorban sekiranya dianjurkan.

“Sebahagian besar daripada mangsa tsunami ini telah meninggal dunia. Kini yang tinggal hanya beberapa kerat, apatah lagi sudah lama berlaku kami tidak lagi teruja untuk mengingatinya seperti sebelum ini,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, ketika hari kejadian dia turut membantu majlis kenduri kahwin di rumah jiran sekampungnya bersama penduduk lain.

“Ketika itu anak bongsu saya, Mohamad Nazir berusia lapan tahun dan sedang bermain di tepi pantai bersama beberapa rakan-rakannya. Pada mulanya air laut surut sehingga hampir satu kilometer (km) sebelum pasang semula dan melanda kawasan darat di sini.

“Ketika limpahan pertama air yang penuh lumpur itu menyerang perkampungan kami, saya lari dan mendukung anak untuk berlindung di belakang rumah. Limpahan kedua air laut itu merosakkan sebahagian besar rumah penduduk termasuk kediaman saya,” katanya.

ORANG ramai boleh melihat kesan tragedi tsunami yang membadai beberapa buah kampung di Kuala Muda di Galeri Tsunami yang dibina bagi memperingati kejadian itu.

Sementara itu, sebuah monumen yang menggunakan 26 buah bot milik penduduk yang rosak akibat tragedi tersebut masih teguh sebagai simbolik kepada kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004.

Memorial tsunami yang berada di simpang tiga jalan kampung berkenaan dibina sedemikian rupa kerana semasa tragedi tersebut, bot-bot nelayan itu sememangnya bertindih antara satu sama lain kesan daripada bencana yang berlaku. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN