Sekolah terjejas banjir dibenar ambil cuti bencana - Utusan Malaysia

Sekolah terjejas banjir dibenar ambil cuti bencana

SEBAHAGIAN guru yang menyertai gotong-royong membersihkan lumpur akibat banjir di SK Kampung Shukor, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Tujuh buah sekolah yang terjejas banjir di daerah ini dibenarkan mengambil cuti bencana sehingga operasi pembersihan selesai dilaksanakan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor terjejas teruk dan dilitupi lumpur tebal.

“Banjir kali ini dianggap terburuk yang pernah dialami di daerah ini, iaitu lebih teruk berbanding 2014.

“Kesemua sekolah yang terlibat dibenarkan untuk mengambil cuti bencana sehinggalah operasi pembersihan selesai sepenuhnya demi keselesaan semua pelajar,” katanya ketika turut menyertai kerja-kerja pembersihan di SK Pasir Raja, bersama lebih 100 sukarelawan, di sini.

Shafruddin berkata, lima sekolah lain yang turut terjejas ialah SK Tepus, SK Kuala Jengal, SK Jongok Batu, SK Dendang, SK Kuala Abang, SK Minda Talong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

Mengenai kerugian yang dialami, Shafruddin berkata, pihaknya sedang membuat penilaian kerugian ekoran kerosakan peralatan di kesemua sekolah terlibat.

“Pegawai pendidikan daerah telah diminta untuk menyenaraikan dan menilai kerosakkan yang dialami untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di SK Pasir Raja dan Kampung Shukor mendapati banjir setinggi lebih tiga meter menyebabkan seluruh sekolah dilitupi lumpur tebal dan banyak perabot termasuk kerusi dan meja murid serta barangan pejabat seperti komputer juga turut mengalami kerosakan dan terpaksa dibuang.

Selain peralatan sekolah, keseluruhan kuarters guru juga turut terjejas dan kebanyakan barangan tidak dapat diselamatkan berikutan banjir luar jangka yang berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya