Salah guna cap dagangan: Pelbagai telefon, aksesori dirampas - Utusan Malaysia

Salah guna cap dagangan: Pelbagai telefon, aksesori dirampas

ANGGOTA KPDN memeriksa sebuah premis perniagaan yang dipercayai menjual produk telefon dan aksesori yang mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah, di George Town, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sebanyak 32 unit telefon pintar pelbagai berjenama dirampas dalam beberapa serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang kerana melanggar Akta Cap Dagang 2019 iaitu mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah, semalam.

Turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan di lima premis perniagaan di sekitar Bukit Jambul dan George Town itu ialah 57 unit aksesori telefon.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, pada masa sama, beberapa dokumen lain yang berkaitan turut disita dengan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,523.

Terdahulu, katanya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama wakil pengadu iaitu pemilik cap dagangan berdaftar jenama tersebut selepas risikan awal dilakukan beberapa hari sebelum itu.

ANGGOTA KPDN memeriksa sebuah premis perniagaan yang dipercayai menjual produk telefon dan aksesori yang mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah, di George Town, Pulau Pinang, semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Sabit kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 boleh dikenakan.

“Sementara itu, bagi pelaku yang tidak melibatkan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftarnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya pula, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Jegan, semua pihak diingatkan tidak melakukan sebarang aktiviti termasuk menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.

“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada KPDN dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDN Pulau Pinang di talian 04-3840245 atau dibuat melalui portal e-aduan KPDN atau datang ke mana-mana pejabat KPDN berhampiran,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya