DHAKA: Bangladesh kini berdepan ancaman penutupan rangkaian telefon bimbit secara meluas jika masalah kekurangan bahan api yang dicetuskan oleh perang Iran tidak dipulihkan dengan segera, lapor operator telekomunikasi pada Isnin.
Negara itu mempunyai populasi 170 juta penduduk itu mengimport 95 peratus keperluan minyak dan gasnya, terutamanya dari Asia Barat. Kekurangan bekalan telah menyebabkan kesesakan luar biasa di stesen minyak dengan tempoh menunggu mencecah sehingga 12 jam.
Persatuan Pengendali Telekomunikasi Mudah Alih Bangladesh (AMTOB) menyatakan bahawa operasi telekomunikasi kini tidak lagi mampu bertahan tanpa bekalan bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan pusat data dan infrastruktur berkaitan.
“Situasi ini telah meningkat sehingga melampaui kawalan operasi kami. Jika keadaan ini berterusan, terdapat risiko besar berlakunya penutupan rangkaian telekomunikasi di sebahagian besar wilayah di negara ini,” tulis AMTOB dalam surat kepada Suruhanjaya Kawal Selia Telekomunikasi Bangladesh (BTRC).
Menurut persatuan itu, kesan krisis tersebut sudah mula dirasai. Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengalami tekanan operasi yang teruk disebabkan ketiadaan kuasa yang berpanjangan dan ketiadaan jaminan bekalan bahan api untuk sistem sandaran.
Pusat data dilaporkan menggunakan kira-kira 500 hingga 600 liter diesel sejam atau hampir 4,000 liter sehari bagi setiap fasiliti. Ia adalah jumlah yang gagal dibekalkan oleh stesen minyak tempatan ketika ini.
Setiausaha Agung AMTOB, Mohammad Zulfikar memberi amaran bahawa penutupan pusat data akan memberi kesan domino kepada rangkaian yang lebih luas.
“Rangkaian akan terputus separa atau sepenuhnya boleh menyebabkan panggilan, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan semua perkhidmatan lain terhenti atau mengalami gangguan teruk.
“Internet mungkin menjadi sangat perlahan atau terputus terus memandangkan pusat data adalah hab arahan di mana trafik diatur dan dikawal,” katanya kepada AFP.
Kerajaan Bangladesh telah menaikkan harga bahan api pada Sabtu, termasuk kenaikan diesel sebanyak 15 peratus daripada 100 taka (RM3.22) kepada 115 taka (RM3.70) seliter manakala petrol naik 16 peratus kepada 135 taka (RM4.35) seliter.
Menteri Tenaga, Iqbal Hasan Mahmud, menjelaskan bahawa kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan krisis global yang melanda dunia ketika ini.
Walaupun kerajaan telah mengarahkan depot membekalkan lebih banyak minyak ke stesen-stesen pada harga baharu, keadaan di lapangan dilaporkan masih belum bertambah baik. Orang ramai terpaksa menghabiskan masa antara 10 hingga 16 jam hanya untuk mengisi tangki kenderaan mereka. – AFP










