BRUSSELS: Dua penghantaran dari Britain yang mengandungi komponen ketenteraan untuk Israel telah dirampas di Belgium.
Sebelum in, negara itu melarang pesawat membawa peralatan ketenteraan untuk Israel daripada berhenti di negara itu atau menggunakan ruang udaranya.
Bulan lalu, laman berita Britain, Declassified, Vredesactie dari Belgium, laman berita Ireland iaitu The Ditch dan Pergerakan Belia Palestin telah memaklumkan pihak berkuasa di Brussels mengenai satu penghantaran yang bergerak dari Britain ke Israel melalui Lapangan Terbang Liege.
Penghantaran tersebut berlepas dari Britain pada 23 Mac dan dirampas di Lapangan Terbang Liege di Belgium pada 24 Mac.
Ia diperiksa oleh seorang jurutera pakar yang menemui sistem kawalan tembakan dan alat ganti untuk pesawat tentera, yang tidak diisytiharkan dengan betul.
Pihak berkuasa Belgium dilaporkan telah membuka siasatan jenayah berhubung kes ini, tetapi enggan menamakan syarikat yang terlibat dalam aduan tersebut.
Namun, kerajaan wilayah Walloon di selatan Belgium menamakan salah satu syarikat tersebut sebagai Moog Inc., sebuah firma aeroangkasa Amerika yang mempunyai kilang di Britain.
Menurut Declassified, sebuah kod pos yang dikaitkan dengan kilang syarikat itu di Wolverhampton, Britain telah menghantar barangan ke Israel melalui Belgium pada Disember tahun lalu.
Moog menghasilkan aktuator untuk pesawat M-346 yang digunakan untuk melatih juruterbang Israel. – AGENSI










