TEHERAN: Sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) pada Ahad melepaskan tembakan dan merampas sebuah kapal kargo berbendera Iran di Teluk Oman yang cuba mengelak sekatan laut AS, menurut Presiden Donald Trump dan pihak tentera AS.
Trump menulis di platform Truth Social bahawa selepas kapal Iran, Touska mengabaikan amaran untuk berhenti.
Ini menyebabkan kapal pemusnah peluru berpandu berpandu USS Spruance menghentikan pelayaran kapal tersebut serta-merta dengan menembak hingga menyebabkan ruang enjin berlubang.
“Ketika ini, Marin AS telah menguasai kapal tersebut,” tambah presiden AS itu dan tenteranya sedang memeriksa apa yang ada di atasnya.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan memuncak di Selat Hormuz, laluan penting bagi minyak dunia dan gas asli cecair, yang hampir ditutup sepenuhnya sejak permulaan perang AS-Israel dengan Iran tujuh minggu lalu.
Iran membuka semula selat itu seketika pada Jumaat sebagai pengiktirafan terhadap gencatan senjata Israel-Hizbollah di Lubnan.
Namun, menutupnya semula keesokan hari sebagai tindak balas terhadap tindakan AS yang terus mengekalkan sekatan ke atas kapal yang bergerak ke dan dari pelabuhan Iran.
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata pada Ahad bahawa Touska sedang cuba belayar menuju ke pelabuhan Iran di Bandar Abbas.
Menurut CENTCOM dalam hantaran di platform X yang disertakan video pendek menunjukkan tembakan ke arah sebuah kapal di kejauhan selepas amaran diberikan.
USS Spruance melepaskan beberapa das tembakan menggunakan meriam untuk melumpuhkan sistem pendorong kapal Iran itu selepas mengarahkannya mengosongkan bilik enjin.
CENTCOM berkata, tentera AS telah mengarahkan 25 kapal komersial untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan Iran sejak sekatan laut AS bermula.
Trump berkata, Touska dikenakan sekatan oleh Perbendaharaan AS kerana sejarah aktiviti haram sebelum ini.
Touska disenaraikan di laman web Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC), Perbendaharaan AS sebagai kapal kontena berbendera Iran yang dikenakan sekatan AS.
Menurut data terkini dari laman web Marine Traffic, kira-kira enam jam sebelum pengumuman Trump, Touska berada sekitar 45 kilometer dari pantai selatan Iran berhampiran bandar Chabahar.
Satu lagi laman pemantauan kapal, Tanker Tracker, menyatakan Touska telah belayar dari Malaysia. – AFP










