Rasuah: Bekas hakim dipenjara sehari, denda RM12,000

Rasuah: Bekas hakim dipenjara sehari, denda RM12,000

AZMIL MUNTAPHA ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas dipenjara sehari dan didenda RM12,000 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuannya terhadap hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.

Hakim Hasbullah Adam mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 dan menggantikannya dengan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000.

Mahkamah menolak rayuan bekas hakim itu (perayu) terhadap sabitan selepas berpendapat keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapatinya bersalah, adalah selamat untuk dikekalkan.

Azmil Muntapha, 50, yang pernah bertindak sebagai koroner inkues siasatan kematian pembantu politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock, turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah mendengar rayuannya pada 20 Julai 2023 manakala keputusan diumumkan pada 31 Julai 2023.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 29 Disember 2023, Hakim Hasbullah berpuas hati, perayu telah memperoleh wang RM5,000 yang telah didepositkan oleh seorang timbalan pendaftar mahkamah (ketika itu) ke dalam akaun banknya.

Beliau turut berpuas hati, penerimaan wang tersebut tercetus ekoran permintaan seorang individu yang merupakan `orang tengah’ judi ekor haram yang disampaikan menerusi seorang pegawai polis dan timbalan pendaftar berkenaan berkaitan pertuduhan terhadap enam individu.

Ketika perbicaraan, timbalan pendaftar itu memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keempat (SP4) manakala pegawai polis tersebut sebagai SP3.

Hakim Hasbullah selanjutnya berpuas hati dengan dapatan hakim bicara bahawa pegawai polis dan timbalan pendaftar itu adalah saksi-saksi yang kredibel dan boleh dipercayai dan mereka tiada sebab untuk memfitnah dan memerangkap perayu.

Beliau turut bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa kedua-dua saksi itu tidak goyah ketika memberi keterangan dan keterangan mereka berpadanan dengan keseluruhan fakta.

“Walau apa juga cara atau medium wang RM5,000 itu disampaikan kepada perayu, ia tidak sama sekali dapat menafikan bahawa wang yang diterima itu adalah ‘upah’ atau ‘ganjaran’ di atas perlakuannya menjatuhkan hukuman ke atas enam individu tersebut.

“Rangkaian keterangan saksi-saksi pendakwaan tetap utuh berhubung pemindahan wang kepada perayu yang berakhir apabila timbalan pendaftar itu mendepositkannya secara tunai ke dalam akaunnya.

“Hujahan perayu bahawa hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menerima keterangan kedua-duanya (yang merupakan rakan sejenayah) tanpa tapisan yang ketat, adalah tidak bermerit,” ujar Hakim Hasbullah dalam penghakiman yang diperolehi pihak media hari ini.

Beliau seterusnya menyatakan, perayu dalam keterangan pembelaannya mencadangkan wang RM5,000 itu merupakan bayaran balik hutang, namun SP4 menegaskan beliau tidak pernah berhutang dengan perayu mahupun menyediakan atau menandatangai apa-apa dokumen berkenaan hutang.

Sebaliknya, SP4 menyatakan bahawa duit tersebut adalah seperti mana dalam perbualan WhatsApp yang membawa maksud wang bagi kes keenam-enam tertuduh.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Hasshahari Johari dan Muhamad Hafizah Shafuan mewakili Azmil Muntapha.

Pada 19 Oktober 2022, Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman ke atas bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu itu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rasyihah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM6,000 kepada RM12,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga daripada beberapa pihak pada pukul 8.22 malam, iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan.

Tertuduh mengetahui wang itu mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Mereka ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua nya.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya