
MEKAH: Jutaan umat Islam berhimpun di Arafah untuk berwukuf di sebalik seruan supaya ummah kembali bersatu bergema ketika dunia terus berdepan konflik dan perpecahan.
Di bawah terik matahari, jutaan jemaah berpakaian ihram putih mengangkat tangan memohon keampunan dan rahmat Allah pada hari wukuf yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, pangkat dan warna kulit.
Sejak awal pagi, laungan talbiah bergema dari setiap penjuru Arafah ketika lautan manusia mula memenuhi khemah masing-masing bagi melaksanakan wukuf bermula dari Zuhur sehingga masuk Maghrib.
Bagi jemaah haji, suasana di Arafah bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi medan muhasabah yang menyedarkan manusia tentang hakikat persamaan sesama umat Islam.
Namun di sebalik lautan manusia yang berhimpun itu, umat Islam diingatkan bahawa perpecahan dalaman menjadi antara punca utama ummah terus ketinggalan dan lemah berdepan cabaran dunia moden.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, hubungan terhadap terhadap Tuhan jika tidak seiiring dengan hubungan sosial sesama insan akan menjadikan kehidupan tempang dan cacat, dilanda kemiskinan jiwa, watak dan akhlak.
Katanya, Rasulullah melalui Khutbah Haji Wada‘ (Terakhir) telah menggariskan asas penting dalam pembinaan masyarakat bertamadun.
“Seruan Rasulullah bukan sekadar memperbanyakkan ibadat dan munajat, akan tetapi menekankan kepentingan memelihara nyawa, harta dan maruah, menunaikan amanah, menjauhi riba, perpecahan, sikap taksub serta segala bentuk akhlak jahiliah yang merosakkan keharmonian.
“Baginda juga mengingatkan umat agar tidak mempermainkan hukum Tuhan menurut hawa nafsu dan kepentingan duniawi,” katanya ketika menyampaikan Khutbah Arafah di sini semalam.
Menurut Zulkifli, justeru itu akhlak yang diajar dalam haji bukan sekadar hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan sesama manusia termasuk hubungan dengan alam.
Beliau berkata, perkara itu menjadi asas penting masyarakat yang harmoni dan sejahtera atau Masyarakat Madani yang dibina oleh Rasulullah.
Katanya, ibadah haji mengajar manusia bahawa kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi pada pembangunan jiwa, watak dan akhlak.
“Haji bukan sekadar perjalanan menuju ke tanah suci, tetapi perjalanan kembali kepada fitrah yang sebenar.
“Amal ibadat itu tidak hanya bermaksud untuk kerja-kerja akhirat atau persiapan mati sahaja, akan tetapi merangkumi tujuan membaiki akhlak, membaiki laku perangai, membaiki kelakuan hidup atau sesuatu yang mengelokkan sifat-sifat keperangaian dan budi pekerti,” katanya.
Menjelang waktu petang, suasana di Arafah semakin hening apabila jutaan jemaah terus tekun berdoa dengan ada antaranya menangis teresak-esak memohon pengampunan dalam detik yang dipercayai menjadi penentu perubahan hidup mereka.
Di bumi Arafah yang menyatukan jutaan manusia tanpa sempadan itu, umat Islam sekali lagi diingatkan bahawa kekuatan sebenar ummah bukan terletak pada jumlahnya, tetapi pada kesatuan hati, iman dan persaudaraan yang wajib dipertahankan bersama. – UTUSAN










