ALOR SETAR: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam kerana cubaan bunuh kenalan wanitanya apabila menikam leher mangsa, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim serta Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.
Hakim Priscilla Hemamalini turut memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri selepas permohonan dibuat peguamnya, Mohd. Hakim Hamran.
Mohd. Hakim memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Tiada jaminan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 17 Mei lalu, seorang wanita cedera parah pada leher akibat ditikam kenalan lelaki di dalam kereta Mazda di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah.
Suspek yang melarikan diri sebaik kejadian berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda, di sini kira-kira pukul 1.50 pagi, 18 Mei lalu. – UTUSAN










