Aidiladha tanpa korban di Gaza

Aidiladha tanpa korban di Gaza

MUHD HAIKAL LUQMAN ZULKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Palestin di Gaza tetap menyambut Aidiladha tahun ini meskipun tanpa ibadah korban susulan pepera­ngan berterusan yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan di wilayah itu.

Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, sambutan Aidiladha masih diteruskan seperti biasa walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan hanya dirai secara kecil-kecilan di kem serta penempatan sementara di sekitar Gaza.

Katanya, penduduk Gaza ketika ini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan termasuk daging susulan pe­ningkatan harga secara mendadak selain kekurangan bekalan asas di wilayah berkenaan.

“Setakat ini, keadaan penduduk di bumi Gaza sebenarnya semakin teruk kerana kami dimaklumkan rejim haram Israel telah meluaskan penguasaan sehingga meliputi 64 peratus kawasan di Gaza.

“Maksudnya, penduduk Gaza kini hanya tinggal di sebahagian kecil kawasan yang masih berbaki. Kami juga dimaklumkan mereka tidak mempunyai bekalan makanan atau bahan-bahan seperti daging dan sebagainya untuk sambutan Aidiladha.

“Kalau pun ada daging yang dijual di Gaza, harganya mening­kat sehingga empat kali ganda dan memang tidak mampu dibeli oleh penduduk di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhd. Haikal berkata, pihaknya turut menggerakkan usaha melaksanakan ibadah korban di luar Gaza sebelum bantuan berkenaan dihantar masuk ke wilayah itu melalui beberapa negara transit bagi membantu rakyat Palestin menyambut Aidiladha.

Katanya, pihak CGM juga membantu mendapatkan bekalan keperluan asas daripada pembekal sedia ada di Gaza bagi memastikan bantuan dapat terus disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.

“Buat masa ini, memang kita akan usahakan sedekah daging korban dengan melaksanakan ibadah korban di India sebelum proses pengetinan dilakukan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kemudian, kita akan menghantar bekalan tersebut dari UAE untuk dibawa masuk ke Gaza melalui Jordan, insya-Allah. Itu adalah antara cara-cara yang kita lakukan.

“Selain itu, memang kita bantu dari sudut keperluan asas yang masih kita boleh bantu dan beli daripada dalam Gaza sendiri melalui pembekal yang kita dah ada rekod dan juga kerjasama sebelum ini untuk berikan bekalan bantuan itu kepada penduduk di bumi Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN