KERANCAKAN program-program bercorak realiti di kaca televisyen menyaksikan persaingan yang sihat wujud dalam dunia penyiaran tempatan.
Bermula daripada rancangan-rancangan berbentuk hiburan khususnya pencarian bakat nyanyian, lakonan mahupun pertandingan ratu cantik, setiap daripadanya telah berupaya meraih kelompok peminat dan penontonnya yang tersendiri.
Rating yang tinggi turut menjadi kayu pengukur bahawa program yang disiarkan itu berupaya mencipta populariti dan ia penting bagi memastikan ia kekal relevan selain penerbitannya dapat diteruskan dari tahun ke tahun mengikut peruntukan bajet yang disediakan.
Bagaimanapun, di kala stesen televisyen lain mahu mengejar dan mengekalkan populariti, faktor itu tidak dilihat sebagai satu keutamaan oleh stesen televisyen Al-Alhijrah meskipun turut menghasilkan banyak program realiti di platform mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, dia bersyukur kerana kebanyakan program realiti yang dipaparkan di saluran ini turut berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi sekali gus mengumpul peminat tersendiri.
Namun, Al-Hijrah tidak meletakkan kemestian bahawa setiap program yang ada perlu dihasilkan pada saban tahun semata-mata mahu mengejar populariti.
“C0ntohnya program Pentas Marhaban yang baru saja tamat pada hujung tahun lalu, ia berupaya mengumpulkan kelompok penonton sekali gus memperlihatkan program berkenaan dapat rating yang tinggi.
“Namun untuk Al-Hijrah sediakan pada saban tahun mungkin bukan satu keperluan. Stesen kami meletakkan keutamaan kepada sensitiviti. Kalau terlalu banyak kebanjiran program pertandingan, itu lari daripada objektif asal penubuhan stesen ini.
“Kami lebih berteraskan perkongsian ilmu dan dakwah, bukannya fokus kepada format ‘signature’ program. Mungkin kami akan selang selikan penghasilan program realiti itu di kaca televisyen contohnya buat dua tahun sekali mengikut kesesuaian,”katanya.
Tak boleh ‘plastik’
Kongsi Namanzee lagi,dia juga berbangga dengan pencapaian yang diraih stesen TV Al-Hijrah sepanjang tahun lalu dan menyifatkan antara formula yang diketengahkan berjaya mencapai sasaran.
Katanya, satu daripada formula yang digunakan adalah kewajipan seluruh tenaga produksi menghasilkan sesebuah program yang tidak terlihat ‘plastik’ di kata mata penonton.
“Kami tak boleh ‘fake’ dalam menghasilkan sesebuah program sebab sesuatu penghijrahan tak boleh dibuat-buat. Begitu juga kalau kami nak letakkan mana-mna hos yang berada di depan kamera, hos itu tak boleh berpura-pura berhijrah. Kita kena tampilkan keikhlasan untuk orang menonton.
“Sebab kalau tak jujur, orang boleh tahu dan nampak. Kami lihat, ramai semakin menyokong saluran ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan beberapa tahun lalu ketika pandemik.
“Semakin ramai yang dahagakan program dengan pengisian berbentuk dakwah atau keagamaan, dan itu adalah kelebihan buat kami. Bagaimanapun, cabarannya ialah kami tak boleh juga terlalu menghasilkan program yang terlalu bercorak ‘madrasah’ atau ‘sekolah’.
“Setiap program perlu berkonsep dakwah kontemporari. Kita juga tengok apa yang sesuai apa yang tidak bagi memastikan keseimbangan di saluran TV Al-Hijrah,”katanya.
Dalam pada itu, Namanzee berkata, tahun 2024 menyaksikan TV AlHijrah bermula kompetitif apabila stesen ini berada di tangga lima teratas saluran TV di Malaysia pada awal Januari 2024.
Namanzee berkata, tahun ini stesen TV AlHijrah masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa menepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.
Antara program yang disediakan pada tahun ini ialah Akademi Qurra’ 2024, Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114 dan 30 Minit Bersama.