SABAK BERNAM: Keramahan seorang wanita warga emas berbangsa Cina yang petah bertutur dalam bahasa Jawa dan Banjar menarik perhatian masyarakat setempat di daerah ini.
Lim Ah Moi, 79, yang mesra digelar Suson dikenali ramai, terutamanya pelanggan di gerai kerepek yang diusahakannya di Pasar Awam Sungai Besar di sini, lebih 10 tahun lalu.
Menurut ibu kepada empat anak itu, dia fasih dua bahasa berkenaan sejak kecil ketika menetap di Kampung Tebuk Jawa yang majoritinya orang Melayu.
“Sewaktu kecil, keluarga kami sudah bergaul dengan kaum Melayu di kampung.
“Hubungan kami akrab umpama keluarga dan sering melakukan pelbagai aktiviti seperti berkubang dalam parit, menunggang basikal waktu malam dan menemani rakan mengaji,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jelas Suson, hubungan beliau dengan rakan di kampung itu masih erat terjalin sehingga kini.
“Saya menetap di situ sehingga berusia 17 tahun dan masih saling mengenali antara satu sama lain.
“Pergaulan dengan kaum Melayu amat seronok kerana dapat mengenali budaya dan adat resam berbeza serta saling memahami.
“Jika ada pelanggan singgah di gerai kerepek berbual bahasa Jawa atau Banjar, saya boleh mencelah dan beramah mesra,” selorohnya. – UTUSAN










