PEKAN: Seramai 687 peserta Felcra Sri Makmur di sini menuntut pihak bertanggungjawab membuat bayaran buah tandan segar (BTS) yang tertunggak sejak April tahun lalu.
Difahamkan, bayaran tertunggak itu dianggarkan berjumlah RM6.4 juta sehingga Disember tahun lalu dan akan mencecah RM8 juta jika tidak dilangsaikan sehingga Februari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felcra Sri Makmur, Umar Kassim, 68, berkata, bayaran itu tertunggak sejak urusan pembelian BTS diambil alih syarikat luar berbanding diuruskan oleh Felcra sebelum ini.
Katanya, pada mulanya segala urusan ladang peserta dilakukan oleh Felcra, namun pada Februari tahun lalu, pihak Ahli Jawatankuasa Kemajuan Projek (AJKKP) peringkat tiga bersetuju buah sawit dijual kepada syarikat luar kerana menawarkan pembelian kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi berbanding Felcra iaitu 19.2 peratus.
“Perbincangan dan persetujuan hanya antara Felcra dan AJKKP peringkat tiga, namun ia kemudiannya diikuti AJKKP peringkat satu dan dua serta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Sijau tanpa sebarang mesyuarat diadakan.
“Bayaran BTS sepatutnya dibuat setiap empat bulan namun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang bayaran. Difahamkan hanya 40 peratus bayaran dibuat dari keseluruhan jumlah sekitar RM10 juta.
“Itupun setelah disemak kami dapati hanya dua bulan pertama OER dibayar pada kadar 19.1 peratus. Kemudiannya ia dibayar pada kadar 17 peratus lebih rendah daripada yang dibayar Felcra sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tidak hanya itu, Umar berkata, syarikat terbabit juga didapati tidak memenuhi syarat yang dikenakan pihak AJKKP sebelum ini kerana didapati tidak memiliki lesen dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Sebelum bersetuju menyerahkan urusan jual beli buah sawit kepada syarikat luar, AJKKP telah mengenakan syarat antaranya syarikat perlu memiliki lesen MPOB. Namun setelah disiasat, kami dapat syarikat tersebut tidak memiliki lesen MPOB,” katanya.
Peserta Felcra peringkat tiga, Mohammad Sohaimi Mahussin, 66, berkata, peserta terbabit termasuk dari RTK Bukit Sijau sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Felcra dan syarikat terlibat namun sehingga kini masalah itu belum selesai.
“Masalah timbul setelah berlaku pertukaran jual beli BTS dari pihak Felcra kepada pembeli luar. Kami mohon agar urusan jual beli kembali semula ke Felcra. Kalau betul syarikat itu ikhlas mahu bantu peserta yang kesemuanya hanya mengharapkan hasil daripada jualan buah sawit, mereka sepatutnya bayar BTS itu.
“Harap pihak Felcra mengambil tindakan. Perkara ini tergantung kerana tiada hitam putih. Kalau tidak bertindak dan tidak selesaikan juga perkara ini, kami akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri,” katanya.
Wakil AJKKP peringkat dua, Ibrahim Uda, 80, pula berkata, kebanyakan peserta yang terlibat terdiri dalam kalangan warga emas yang hanya berharap dan bergantung penuh kepada bayaran BTS terbabit.
“Sebelum ini kami tidak ada masalah dari sudut bayaran. Bagi peserta di peringkat satu dan dua, kami ada menerima bantuan sara hidup sebanyak RM800 setiap bulan yang ditolak daripada BTS terbabit.
“Jika tiada bayaran dibuat, kami bimbang sekiranya bantuan tersebut akan terhenti sehingga Februari ini. Kalau itu berlaku, kami tidak tahu bagaimana hendak menyara kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN









