PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan perlu diselaras menggunakan versi Bahasa Melayu bagi menyelesaikan isu berkaitan pengislaman sepihak dalam prosedur penukaran agama kanak-kanak dimuktamadkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, ini kerana versi Bahasa Melayu dapat menyelesaikan isu penggunaan parent dalam Perkara 12 (4) itu sama ada ia dikira sebagai kata tunggal atau majmuk.
Menurut beliau, tafsiran parent versi bahasa Melayu merujuk kepada ibu atau bapa berbanding versi bahasa Inggeris yang merujuk kepada kedua-dua ibu bapa.
“Sekarang ini, mahkamah menggunakan versi bahasa Inggeris Perlembagaan Persekutuan untuk mentafsir perkataan parent sebagai kata majmuk (plural).
“Jadi, jika kita tiada perlembagaan versi versi bahasa Melayu untuk dirujuk, maka undang-undang sekarang hanya memberi kepada kelebihan kepada pasangan bukan Islam sahaja.
“Sedangkan, bukan sahaja perlu melihat kepada perspektif bukan Islam semata-mata. Mereka yang baru memeluk Islam juga perlu keadilan dan perlu diberi hak serta layanan yang sama,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, media melaporkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengusulkan isu berkaitan pendaftaran pengislaman kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ketika ini terdapat lapan negeri menghendaki keizinan hanya daripada salah satu pihak sama ada ibu atau bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis.
Katanya, lima negeri lain yang menghendaki keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun ialah Pulang Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang.
Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, lima lagi negeri yang memerlukan keizinan ibu dan bapa itu bagaimanapun tidak disarankan untuk meminda undang-undang syariah masing-masing pada masa sekarang untuk memasukkan keizinan hanya daripada salah satu pihak sahaja.
Beliau berkata, perkara itu perlu ditangguhkan sebentar kerana terdapat satu lagi cabaran dibuat oleh guru tadika, M. Indira Gandhi pada tahun lepas yang menamakan negeri-negeri yang tidak menggubal perkara itu dan meminta mahkamah mengisytiharkan undang-undang tersebut adalah terbatal dan tidak sah bagi negeri yang masih menggunakan ibu atau bapa.
“Apabila ada cabaran undang-undang, adalah pramatang untuk buat pindaan selagi mana keputusan tersebut tidak dimuktamadkan. Jadi, jangan tergesa-gesa buat pindaan tersebut selagi mana kes Indira Gandhi pada tahun lepas tidak diputuskan oleh Mahkamah.
“Namun, kena lihat sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan Indira Gandhi, maka kemungkinan tidak perlu dibuat pindaan undang-undang. Jika mahkamah setuju, maka nak tak nak negeri-negeri kena ikut pindaan,” katanya. – UTUSAN










