KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat meninggalkan Istana Negara.
Langkah pulang baginda ke Istana Pahang meninggalkan pelbagai peristiwa penting yang terpahat dalam sejarah negara termasuk menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong dengan kepemimpinan empat perdana menteri dengan jemaah menteri yang berbeza.
Bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin, diikuti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan terkini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Al-Sultan Abdullah bagaimanapun tenang melalui proses pertukaran tersebut dengan bijaksana demi kestabilan negara dan rakyat.
“Setiap daripada mereka mempunyai cara pentadbiran berlainan antara satu sama lain khususnya dalam merangka belanjawan negara,” titah Seri Paduka dalam wawancara khas Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama media di Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah memberi contoh pentadbiran Anwar yang kini memfokuskan ke arah subsidi bersasar untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan di samping menyelesaikan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu serta menghapuskan ketirisan dalam kerajaan.
“Ketika saya mula datang (naiki takhta Agong), perdana menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir dan pada setiap pertemuan, beliau sering beritahu kerajaan menghadapi kekangan kewangan. Jadi ketika itu beliau kata tidak boleh belanja. Projek-projek besar terpaksa dibatalkan, saya tidak sebut apa projek ini. Saya faham rasionalnya, kerana saya baru masuk, terima hakikat.
“Apabila beliau letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin ambil alih dan saya dapati ceritanya lain pula. Ada duit untuk belanja itu, belanja ini. Saya tidak tahu siapa benar, siapa tidak benar, itu Allahu Alam.
“Tapi diumumkan di Parlimen, kita tahulah meningkat sedikit dari tahun ke tahun. Perbelanjaan Covid-19, zaman darurat yang saya juga tidak beberapa puas hati apabila terpaksa menandatangani Deklarasi Darurat tempoh hari. Disebabkan Covid-19 naik, saya terpaksalah buat keputusan.
“Kemudian Datuk Seri Ismail Sabri, belanjawan begitu juga. Ini semua menggambarkan seolah-olah keadaan kewangan fiskal polisi kerajaan begitu bukan tak begitu baik, tapi oklah,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kesemua empat Perdana Menteri itu mempunyai banyak pengalaman kerana ada yang pernah menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri berbanding baginda yang baharu 15 hari menjadi Sultan Pahang sebelum menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong.
“Saya bukan Sultan berbelas tahun (pengalaman), banyak benda saya tidak tahu. Saya terpaksa bertanya, mempelajari, baca supaya saya dapat. Bukan senang menjalankan tugas sebagai seorang
raja, keadaan akan datang lebih mencabar. Saya boleh dapat bayangkan, tapi cabaran itu baik untuk seorang Agong,” titah Al-Sultan Abdullah.
MESYUARAT KABINET
Berkenaan mesyuarat Pra-Kabinet mingguan bersama Perdana Menteri, titah Al-Sultan Abdullah, Seri Paduka berkenan berangkat menghadiri sesi itu sebanyak 160 kali sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan mendedahkan telah mempunyai tujuh buku catatan yang merekodkan pelbagai teguran dan pandangan kepada kerajaan.
Seri Paduka bertitah, baginda akan membaca setiap kertas Kabinet sebelum sesi pertemuan berlangsung dan ada kalanya sehingga larut malam.
“Pra-Kabinet dulu tiap-tiap pagi Rabu, tetapi saya tukar kepada hari Selasa sebelah petang berjumpa dengan perdana menteri. Biasanya 45 minit sehingga satu jam. Mana-mana kertas Kabinet yang perlu tanya, saya tanya.
“Saya tidak ada yang mana saya setuju, saya setuju, kalau tidak setuju, saya tidak setujulah. Jadi, Alhamdulillah segala pandangan, segala nasihat Perdana Menteri saya ambil terima. Saya terima dan sebaliknya juga kenapa teguran saya, perdana menteri akan maklum kepada Kabinet. Jadi ia kerjasama dua hala.
“Jika ada sesi dengan menteri-menteri kalau ada isu-isu yang dibangkitkan, cuba selesai secara berhemah,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka menyifatkan kerjasama dua hala perlu merupakan satu pengalaman yang harus diteruskan oleh bakal-bakal Yang di-Pertuan Agong akan datang kerana ia merupakan satu konvensyen antara Ketua Negara dan Ketua Kerajaan supaya segala urus tadbir negara boleh diselesaikan melalui musyawarah antara kedua-dua pihak.
Menyentuh cabaran ekonomi dan kedudukan kewangan kerajaan, Al-Sultan Abdullah bertitah, meskipun terdapat peningkatan Hasil Dalam Negeri Kasar tetapi tidak tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara jiran apatah lagi China dan negara besar lain.
Seri Paduka bertitah, kerajaan perlu melakukan perbelanjaan berhemah dan pintar setelah kadar pinjaman negara adalah sebanyak 60 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar meskipun dalam lingkungan dibenarkan kerajaan.
“Saya rasa ini dapat dikurang daripada masa ke semasa sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus setiap tahun kalau boleh. Perlu mempunyai kedudukan pengurusan kewangan yang bijak untuk negara.
“Jadi apa yang sedang dibuat Datuk Seri Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sekarang cuba untuk mengawal mana-mana ketirisan, mana-mana perbelanjaan besar. Dalam pada itu belanjawan masih besar dalam keadaan begitu,” titah Seri Paduka.
MOVE ON
Ketidakstabilan politik yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada Malaysia, malah menjejaskan peluang pelaburan sekali gus menyebabkan tanah air ketinggalan berbanding negara jiran lain.
Justeru, baginda mengajak ahli-ahli politik agar move on ekoran spekulasi langkah-langkah tertentu dengan menggesa mereka tidak terlalu berpolitik dan memfokuskan kepada pembangunan dan memajukan ekonomi negara.
“Sangat penting untuk mempunyai negara stabil. Dengan tukar kerajaan, tukar Perdana Menteri atau menteri membawa banyak perubahan kepada polisi kerajaan dan pentadbiran. Negara asing dan pelaburan asing melihat perkara ini, mereka hendak negara stabil yang mana boleh memasukkan pelaburan dan dapat hasil pelaburan dengan secepat mungkin dan sebesar mungkin.
“Kalau ada kerajaan sentiasa bertukar, saya tahu dan perhati apabila menteri ini masuk kementerian, akan tukar cara. Kalau tidak suka pegawai itu, dia akan tukar dan semua kena tukar, bukan atas sahaja, bawah pun kena sekali, ini akan melambatkan proses pentadbiran,” titah Seri Paduka. – UTUSAN










