Perigi 101 tahun 'dilindungi' tembok hadang ombak

Perigi 101 tahun ‘dilindungi’ tembok hadang ombak

RAZALI Idris (tengah) diberi taklimat pembinaan tembok penghadang ombak untuk melindungi perigi di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Sebuah tembok penghadang ombak akan dibina dalam tempoh terdekat untuk melindungi perigi lama berusia 101 tahun daripada ancaman hakisan pantai di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, tembok penghadang ombak yang dianggarkan menelan belanja RM30,000 itu akan dibina oleh QPQ Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat kerajaan negeri sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Menurutnya, syarikat tersebut yang terlibat dalam industri pembinaan bersetuju membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal utuh dan tidak lagi terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal.

“Sebaik sahaja mendapat tahu berita yang tular mengenai perigi lama itu, saya melawat lokasi tersebut bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan beberapa agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk mendakwa lokasinya terletak antara 100 hingga 200 meter dari pantai pada awal tahun 1970-an, namun hakisan menyebabkan ia berisiko lenyap ditelan ombak jika tiada usaha pemuliharaan dilakukan segera.

Perigi lama itu dikatakan dibina oleh pedagang dari luar untuk dijadikan sumber minuman dan tempat bermandi-manda ketika singgah berlabuh di pantai tersebut tersebut satu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk di sekitar kawasan itu mengenai ancaman hakisan terhadap perigi tersebut kerana ia antara peninggalan sejarah yang sangat berharga.

“Kita tidak akan biarkan ia begitu sahaja dan pembinaan tembok penghadang ombak itu nanti diharap akan melindungi perigi lama tersebut.

“Dalam masa sama, penglibatan komuniti setempat juga sangat dihargai kerana mereka akan menjadi duta kecil pelancongan dan sejarah kebudayaan yang berkait rapat perigi lama itu kepada pengunjung yang datang nanti,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan penduduk sekitar Batu Rakit berharap pihak berkuasa segera mengambil langkah memulihara sebuah perigi lama dipercayai berusia 101 tahun di Kampung Mengabang Kapal di sini, yang berdepan ancaman hakisan kritikal.

Seorang penduduk, Anuar Ngah, 55, berkata, perigi lama yang dibina sedalam kira-kira lima meter dan luas 1.5 meter itu ditemukan penduduk ketika mengadakan gotong-royong di kawasan tersebut pada pada 2020 dan strukturnya masih kukuh ketika itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN