BEIJING: Koleksi puisi yang sebahagiannya dicoretkan di atas helaian kertas kecil di celah-celah kesibukan menghantar makanan membolehkan Wang Jibing merangkul salah satu anugerah sastera paling berprestij di China.
Buku puisinya bertajuk Low Flight yang terhasil daripada inspirasi cabaran harian dihadapi oleh para penghantar makanan berjaya menjuarai Anugerah Sastera Lu Xun.
Anugerah tersebut dinamakan sempena pengarang yang terkenal sebagai bapa sastera moden China.
Jibing, 56, yang mula berkhidmat sebagai penghantar makanan sekitar 2019 sebelum ini mencuri perhatian ramai di media sosial menerusi penulisan puisi dan eseinya.
Jibing merupakan sebahagian daripada kelompok pekerja kolar biru yang kini kian diraikan atas karya sastera mereka, sekali gus memberi gambaran sebenar tentang tekanan hidup dihadapi dalam sektor ekonomi gig yang serba pesat di China.
Bagi Jibing, penganugerahan sastera berprestij ini hadir selepas beliau melalui era yang sukar selama beberapa dekad sebagai pekerja sambilan.
Jumlah ganjaran wang tunai bagi penerima Anugerah Sastera Lu Xun tidak diumumkan secara rasmi kepada umum namun setakat 2014, nilainya dianggarkan berjumlah 100,000 yuan (RM60,439).
Dilahirkan di wilayah Jiangsu, Jibing terpaksa berhenti sekolah ketika masih remaja berikutan kesempitan hidup keluarganya.
Dia membuat pelbagai pekerjaan termasuk buruh binaan, mengumpul barang terpakai dan berniaga di gerai tepi jalan sebelum akhirnya menjadi penghantar makanan.
Bagaimanapun, minat mendalamnya terhadap bidang pembacaan tidak pernah padam. Sejak dekad lalu, Jibing mula berkongsi karya puisi dan esei ciptaannya di platform media sosial.
Pada 2022, salah satu puisinya yang bertajuk Man in a Hurry tular di alam maya. Puisi tersebut terhasil daripada pengalaman pahitnya pada 2019 di mana dia meluangkan masa berjam-jam untuk menghantar pesanan disebabkan pelanggan tersalah memasukkan alamat.
Seterusnya pada 2023, Jibing menerbitkan himpunan puisi pertamanya bertajuk Man in a Hurry: Poems of a Food Delivery Rider.
Buku Low Flight yang diterbitkan pada 2024 pula merupakan himpunan puisi berdasarkan hasil temubual dan tinjauan yang dijalankannya sendiri terhadap kira-kira 200 orang rakan penghantar makanan yang lain.
Meskipun kini bergelar pemenang anugerah berprestij, Jibing menegaskan dia tidak berhasrat untuk berhenti daripada kerjayanya dan merancang untuk terus bekerja sehingga usianya mencecah 60 tahun. -AGENSI










