Khairul Aming hantar surat tuntutan kepada syarikat telekomunikasi

Khairul Aming hantar surat tuntutan kepada syarikat telekomunikasi

Khairul Aming
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi apabila data peribadinya didakwa bocor di media sosial.

Dalam laman sosial Threads, anak kelahiran Kelantan itu turut mengesahkan beberapa tindakan tegas juga sudah dilakukannya membabitkan tiga agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menyiasat penyalahgunaan data itu termasuk kepada si pelaku kes itu.

Katanya, peguamnya juga diarahkan untuk mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai.

“Peguam saya sudah pun hantar LOD. Laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.

“Maklumat telefon, sejarah pembayaran, ‘subscription’ sampai ke nombor kad pengenalan boleh akses MySara, semuanya bocor,” katanya.

Terdahulu, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Menerusi hantaran di platform Threads, beliau meminta penjelasan daripada pihak telekomunikasi mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.

Persoalan itu dibangkitkan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498, selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).

Kejadian itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan Khairul Aming, susulan kebimbangan wujud akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana aduan yang dikongsi Khairul Aming di platform Threads memberi gambaran terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi terbabit.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN