69 Komando PGK kekal juara Ujian Rentas Halangan KDNKA

69 Komando PGK kekal juara Ujian Rentas Halangan KDNKA

MOHD. Yusri Hassan Basri bersama Pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) pada Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Kompleks Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Kejayaan mempertahankan gelaran juara keseluruhan Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2026 diraih Pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) melalui hasil persiapan rapi selama 56 hari.

Penyelia Sukan Ujian Rentas Halangan 69 Komando PGK, Deputi Superintendan Wan Nurisham Wan Isa berkata, latihan intensif yang dijalankan sejak awal April menjadi antara faktor utama kejayaan pasukan itu mengekalkan kecemerlangan.

Menurutnya, pelbagai kaedah latihan termasuk peningkatan stamina dan sesi menguji laluan pertandingan dilakukan bagi memastikan anggota berada pada tahap terbaik.

“Kita laksanakan pelbagai bentuk latihan yang boleh meningkatkan stamina. Kita buat latihan di Ulu Kinta dan beberapa kali datang ke sini untuk menguji laluan (track) bagi mendapatkan kejayaan.

“Kalau dikira tempoh latihan, ia berlangsung selama 56 hari bermula awal April sehingga pertandingan berlangsung dan Alhamdulillah kita berjaya mencapai sasaran,” katanya ditemui selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Kompleks Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Komander Bravo Skuadron 69 Komando PGK Ulu Kinta berkata, kemenangan turut melengkapkan kejayaan pasukan berkenaan yang sebelum ini muncul juara sebanyak tiga tahun berturut-turut.

Katanya, mereka sebenarnya mempertahankan kejuaraan selepas sudah tiga kali berturut-turut menjadi juara keseluruhan.

“Tahun lalu bukan sahaja memenangi kategori kumpulan, malah turut muncul juara bagi acara individu dan tahun ini kita berjaya mengekalkan pencapaian itu.

“Selain itu keadaan cuaca sepanjang pertandingan menjadi cabaran utama apabila pasukan perlu membuat beberapa perubahan terhadap perancangan asal.

“Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan kita terpaksa mengubah strategi pada saat akhir, namun kita tetap berjaya mengekalkan kejuaraan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pertandingan berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai dengan penyertaan 320 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, seramai 20 pasukan daripada pelbagai formasi di bawah KDNKA mengambil bahagian dalam pertandingan yang bukan sahaja bertujuan menentukan pasukan terbaik, malah memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota.

“Pertandingan ini menjadi platform strategik dalam meningkatkan budaya latihan berterusan, memperkasa profesionalisme serta memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa bersedia menghadapi cabaran berkaitan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN