Peniaga runsing sewa gerai RM90 naik jadi RM550

Peniaga runsing sewa gerai RM90 naik jadi RM550

SEBAHAGIAN peniaga Medan Selera Pasar Besar mengadakan perhimpunan aman membantah kenaikan sewa ruang niaga premis makanan kendalian MBAS yang membebankan mereka di Alor Setar, Kedah semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 30 peniaga Medan Selera Pasar Besar kendalian Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini runsing memikirkan sewaan ruang niaga yang didakwa akan naik sehingga RM550 sebulan mulai 1 Februari ini.

Mereka berkata, kenaikan terlalu mendadak dan berlipat kali ganda berbanding sewa RM90 sebulan sebelum ini tidak logik walaupun bangunan medan selera itu kini dinaik taraf.

Peniaga, Mohd. Firdaus Shahi Zabiad, 35, berkata, mereka ada menerima notis daripada MBAS bahawa medan selera itu akan diurus oleh operator selepas ini.

“Surat bertarikh 10 Disember 2023 itu menyatakan kami perlu berurusan dengan operator yang dilantik untuk tujuan sewaan di medan selera tersebut.

“Apa yang mengejutkan, kami didatangi seorang individu yang mendakwa wakil syarikat atau operator berkenaan yang memaklumkan sewa ruang niaga akan dinaikkan kepada RM550,” katanya.
Mohd. Firdaus yang berniaga minuman berkata, individu itu turut meminta peniaga membayar deposit RM2,000 sebelum dibenar memulakan perniagaan masing-masing.

Katanya, rata-rata peniaga tidak mampu membayar sewa kadar baharu itu kerana mereka hanya berniaga kecil-kecilan.

“Ada peniaga yang sudah berniaga lebih 20 tahun lalu dan kebanyakan kami hanya jual minuman, nasi berlauk, nasi lemak, roti jala dan kuih-muih dari pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

“Pelanggan ramai pada hujung minggu sahaja kerana mereka ke Pasar Besar Alor Setar yang terletak bersebelahan, manakala pada hari biasa memang kurang orang,” ujarnya.

Justeru, dia meminta pihak MBAS dapat menjelaskan situasi sebenar termasuk berkaitan kadar sewa itu kerana tarikh peniaga akan masuk semula ke medan selera semakin hampir.

Peniaga nasi berlauk, Rohmah Hashim, 65, berkata, dia tidak senang duduk selepas diberitahu harga sewa tapak naik berkali ganda.

“Saya bimbang tidak dapat bayar sewa tapak yang terlalu tinggi itu kerana hasil jualan sangat kecil pada hari tertentu terutama pada hari biasa. Pada hujung minggu pun, purata untung tidak banyak sekitar RM40 ke RM50 sehari,” jelasnya.

Katanya, kadar harga sewa baharu itu membebankan memandangkan kos barangan berniaga termasuk bahan mentah juga meningkat.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia Kedah, Baharudin Mohamed Ali berkata, beliau bersama peniaga terlibat pergi ke MBAS pagi ini bagi menghantar surat berhubung keluhan peniaga tentang sewa berkenaan.

“Kita sedang menunggu maklum balas daripada MBAS dan mungkin akan ada pertemuan antara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN