SEREMBAN: Penduduk di Kampung Kapal, Ulu Beranang, Lenggeng dekat sini, sudah tidak tahan dengan masalah bau busuk yang berpunca daripada tanah persendirian dijadikan tapak pembuangan sisa sampah haram.
Seorang penduduk S. K. Segar, 60, mendakwa, tiga bulan lalu, keadaan lebih buruk apabila kawasan seluas 1.21 hektar itu dipenuhi lautan sampah hasil kegiatan pembuangan sisa sampah haram tersebut.
Dia yang tinggal di kampung itu sejak 42 tahun lalu berkata, rumahnya terletak hanya 300 meter dari tapak pembuangan sampah tersebut.
“Setiap pagi akan ada lori masuk ke laluan kampung untuk membuang timbunan sisa sampah haram ke tapak pembuangan sampah itu. Sebenarnya tapak itu adalah bekas lombong dan tuan tanah dipercayai menyalahgunakan tanah persendirian terbabit dengan menimbus timbunan sisa sampah.
“Penduduk kampung terpaksa menghidu bau busuk setiap hari apatah lagi ketika hujan lebat selain terdapat gangguan lalat.
“Dengan masalah yang berlaku ini, makan pun tidak lalu dan saya pun segan untuk menerima kedatangan saudara mara ke rumah kerana banyak gangguan lalat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya yang juga Ketua Penerangan MIC Negeri Sembilan, pada bulan Oktober tahun lalu, sekeliling rumahnya dinaiki air setinggi dua meter susulan hujan lebat yang seterusnya mengakibatkan banjir.
“Pemilik tanah persendiran itu berjanji dengan saya untuk memperbaiki bahagian pembetungan selepas kejadian banjir berlaku tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan.
“Pembetungan sedia ada pula, tidak dapat menampung air yang banyak serta terhakis dan kemudiannya mengakibatkan air sisa daripada tapak pembuangan sampah itu pun mengalir dan melimpah ke laluan kampung menyebabkan masalah bau busuk bertambah,” katanya lagi.
Menurut Segar, dia kemudiannya membawa masalah tersebut kepada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin untuk diambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Asna berkata, pihaknya mengambil maklum isu itu dan sebagai langkah awal akan memohon kepada agensi berkaitan untuk menambah baik penghalang ke laluan masuk ke Kampung Kapal.
“Menurutnya, ia bagi menghalang kemasukan lori tiga tan daripada memasuki kampung ini, selain memohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan untuk melihat keadaan saliran di kampung tersebut.
“Isu ini dipandang serius kerana ia bukan saja membahayakan kesihatan awam malah membabitkan pencerobohan tanah persendirian justeru tindakan segera perlu diambil daripada segi penambahbaikan di kampung ini,”katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai masalah terbabit bagaimanapun tindakan risikan dan intipan masih dijalankan pihaknya. – UTUSAN










