SIK: Kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, di sini yang didakwa terlalu drastik sejak kebelakangan ini berkemungkinan menjadi punca kepada masalah mendapan lumpur sehingga menyebabkan air di kawasan Empangan Muda menjadi keruh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd. Sobri Ramlee mendakwa, aktiviti tanpa kawalan dan pemantauan pihak bertanggungjawab itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi manusia.
Katanya, kerajaan negeri khususnya tidak boleh berterusan menafikan tiada kegiatan pembalakan dilakukan di hutan berkenaan atau kawasan berhampiran memandangkan kesan aktiviti di situ boleh dilihat dengan jelas.
“Terdapat kayu-kayu balak dikumpulkan di kawasan Belantek, sekali gus membuktikan aktiviti pembalakan berhampiran Hutan Simpan Ulu Muda masih aktif ketika ini walaupun kerajaan negeri terdahulu pernah menghentikan aktiviti itu sebelum ini.
“Berdasarkan pemerhatian, pembukaan kawasan pembalakan sangat besar dan drastik di Ulu Muda, malah terdapat gambar balak di matau Belantek yang secara tidak langsung menandakan kegiatan itu masih ada. Ada satu cara mudah untuk buktikannya iaitu dengan membawa kami masuk ke sana,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kompleks Hutan Ulu Muda adalah hutan hujan tropika berusia jutaan tahun dan seluas hampir 160,000 hektar atau sekitar 17 peratus daripada keluasan negeri Kedah yang menjadi habitat bagi pelbagai jenis flora dan fauna.
Ulu Muda menyalurkan 32 peratus sumber air yang diperlukan oleh Skim Pengairan Muda untuk kawasan sawah di seluruh jelapang padi bagi menjamin keselamatan makanan negara yang menyaksikan negeri ini menyumbang hampir 40 peratus bekalan padi negara.
Bagaimanapun, pemantauan imej satelit oleh Rimba Watch sebelum ini mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan lumpur sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar tujuh bulan kemudian yang dikhuatiri boleh menjejaskan sumber air kepada pengguna di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Sementara itu, Mohd. Sobri berkata, kegiatan pembalakan juga menyebabkan berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar yang semakin tenat terutama gajah.
“Kadar hidupan liar yang terjejas sangat tinggi, contohnya gajah apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah beberapa kali dipanggil untuk memindahkan haiwan itu pada tahun lalu kerana sudah memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Jadi, tak boleh terus nafi keadaan ini, apa yang perlu dilakukan adalah hentikan pembalakan di Ulu Muda sepenuhnya kerana banyak kesan negatif kepada manusia, alam sekitar dan hidupan liar berbanding hasil yang diperolehi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, pembalakan tidak berlaku di kawasan tadahan air sebaliknya kegiatan itu hanya diluluskan dan dilaksanakan dalam kawasan Hutan Pengeluaran.
“Memang ada kelulusan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda tetapi pembalakan diluluskan dan dilaksanakan dalam kawasan Hutan Pengeluaran. Pembalakan tidak dibenarkan dan tidak dilaksanakan bagi kawasan Ulu Muda yang dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan contohnya sebagai Hutan Tadahan Air dan Hutan Taman Negeri,” katanya.
Beliau berkata, kadar taburan dan bilangan hari hujan yang tinggi sebelum ini mungkin menyebabkan berlaku kekeruhan atau mendapan lumpur yang bersifat sementara di kawasan tadahan air Tasik Muda, namun diyakini tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air. – UTUSAN










