Eksperimen BAM belum menjadi

Eksperimen BAM belum menjadi

Aaron Chia (kanan) yang bergandingan dengan Aaron Tai di Terbuka China tews pada pusingan pertama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksperimen Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memecahkan gandingan beregu lelaki negara masih belum membuahkan hasil selepas mereka tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun dan Terbuka China, semalam.

Aaron Chia-Aaron Tai yang membuat penampilan sulung di China tewas 17-21, 19-21 kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, manakala Tee Kai Wun-Yap Roy King turut terkandas di tangan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 23-25, 17-21.

Kekalahan itu menyusul selepas Man Wei Chong-Soh Wooi Yik terlebih dahulu kecundang pada penampilan sulung mereka di Terbuka Jepun minggu lalu, sekali gus menyaksikan tiga daripada empat kombinasi baharu BAM bermula dengan langkah kiri.

Meskipun Aaron dan Aaron memberi tentangan sengit terutama pada set kedua, gandingan senior-junior itu masih jelas mencari keserasian ketika berdepan pasangan No. 8 dunia.

Nasib sama menimpa Kai Wun-Roy King yang turut gagal memanfaatkan penampilan pertama mereka apabila tunduk kepada beregu profesional, Azriyn-Wee Kiong dalam pertarungan sesama wakil negara.

Biarpun gagal pada penampilan sulung di Jepun, Wei Chong-Wooi Yik akhirnya memulakan langkah kanan selepas menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Kang Khai Xing, 21-12, 21-15 di Terbuka China, semalam.

Namun, keputusan itu bukan sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan BAM sebelum ini menjelaskan semua kombinasi baharu masih berada dalam fasa percubaan sebagai persediaan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh sebelum ini berkata, rombakan membabitkan sektor beregu lelaki dibuat hasil keputusan bersama barisan jurulatih yang mempunyai perancangan tersendiri dalam usaha mencari kombinasi terbaik menjelang musim kelayakan Olimpik LA tahun depan.

“Sebagai pentadbir, saya menghormati keputusan yang dibuat oleh barisan jurulatih. Semua ini adalah keputusan bersama dan saya pasti mereka mempunyai perancangan tersendiri mengenai kombinasi pemain beregu.

“Ini baru kejohanan pertama. Saya percaya para jurulatih akan terus memantau perkembangan semua pasangan sebelum membuat keputusan yang terbaik,” kata Kenny.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN