KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan tidak pernah ‘tidur’ dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Komitmen itu turut dizahirkan menerusi penganjuran Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada waktu malam sekali gus melambangkan kesediaan warga pasukan berkhidmat tanpa mengira waktu demi menjamin keamanan ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang diadakan pada waktu malam itu memberi gambaran jelas bahawa penugasan polis di Kuala Lumpur berlangsung tanpa henti selama 24 jam.
Beliau berkata, Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar metropolitan berkepadatan tinggi merekodkan kebanyakan kejadian jenayah pada waktu malam, justeru kekuatan anggota sentiasa digerakkan sepanjang masa.
“Kita mahu memberi isyarat bahawa Kuala Lumpur tidak pernah tidur. Penugasan polis di sini berjalan 24 jam, siang dan malam.
“Perhimpunan bulanan pada waktu malam bukan mengganggu operasi, sebaliknya menunjukkan budaya kerja polis yang aktif pada waktu malam kerana banyak operasi, risikan dan siasatan dijalankan ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Fadil berkata, perhimpunan malam itu merupakan kali kedua diadakan selepas mendapat galakan daripada Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan diteruskan sebagai manifestasi komitmen PDRM dalam memastikan keselamatan ibu negara sentiasa berada pada tahap terbaik.-UTUSAN










