TAMPIN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya persefahaman kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Menurutnya, cadangan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan politik berhubung persefahaman yang dibentuk.
“Kita hendak namakan gabungan ini supaya orang tidak keliru lagi apabila Negeri Sembilan menjadi titik permulaan kepada Perikatan Barisan Nasional kerana ramai masih sukar memahami kerjasama PN-BN.
“Yang penting ialah semangat untuk kita bersama-sama menentukan masa depan Negeri Sembilan.
“Kita boleh namakan apa sahaja kerana gelombang yang kita lihat hari ini dengan lebih jelas adalah gelombang biru menentang gelombang merah. Jika gelombang biru menjadi pilihan majoriti rakyat, insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan di sini, malam tadi.
Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, cadangan penggunaan nama PBN itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama pucuk pimpinan parti-parti terlibat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu mengakui persefahaman antara BN dan PN yang dimeterai di Negeri Sembilan masih belum difahami sepenuhnya oleh sebahagian ahli kedua-dua gabungan susulan pengalaman politik sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk diatasi melalui pertemuan dan kerjasama yang berterusan.
“Pada peringkat awal, biasalah manusia mempunyai perasaan, ada yang kecewa kerana pengalaman lalu namun perkara itu boleh diselesaikan apabila kita bertemu.
“Sebab itu pertemuan antara BN dan PN diadakan lebih awal supaya selepas ini kita dapat turun bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan pengundi memahami apa yang ingin kita lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, gabungan tersebut juga bersetuju memberi laluan kepada BN untuk menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan selepas PRN.
Beliau turut menjelaskan bahawa gagasan Konsensus Nasional Baharu yang diperkenalkannya bertujuan untuk membina sebuah negara yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
Sementara itu, Hamzah bagaimanapun tidak menolak sebarang kemungkinan jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sekiranya persefahaman BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri itu.
“Jika kita berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menggantikannya dengan kerajaan baharu PBN di Negeri Sembilan, ia akan memberi keyakinan kepada rakyat di seluruh negara bahawa gabungan ini mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati mereka melalui sistem demokrasi,” katanya.-UTUSAN










