SEREMBAN: Lima projek berimpak tinggi bersama kerajaan Persekutuan disenaraikan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai komitmen meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
Projek itu ialah pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan rel Pintasan Senawang-Pelabuhan Klang, pembangunan Seremban Sentral, hospital baharu di Bandar Enstek serta pembinaan rumah kedua di lot kediaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan lima projek itu dilihat mampu merancakkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti baharu dan menarik pelaburan antarabangsa ke negeri itu.
Selain itu katanya, manifesto yang ditampilkan juga dirangka dengan memberi tumpuan kepada kesinambungan agenda sedia ada serta penambahbaikan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, setiap inisiatif dan pembangunan yang digariskan dalam manifesto bukanlah retorik politik namun janji yang mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman lapan tahun pentadbiran PH di Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan tidak akan menjadi kuat kerana suara yang paling lantang. Negeri Sembilan akan menjadi kuat kerana rakyatnya saling mempercayai, menghormati dan saling membangunkan antara satu sama lain.
“Inilah asas pentadbiran yang kita bina sejak hari pertama diberikan amanah. Bukan politik yang memecahkan rakyat tetapi politik yang menyatukan kekuatan rakyat demi masa depan negeri yang kita cintai ini.
“Paling penting manifesto ini mampu dilaksanakan, bukan hanya janji. Kita tak perlu berjanji tetapi pelaksanaan adalah yang kita utamakan.
“Rakyat inginkan sebuah manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kami mampu laksanakan. Kita ada rekod pengalaman lapan tahun memerintah,” katanya semasa Majlis Peluncuran Manifesto Kekal Harapan di sini, kelmarin.
Bertemakan ‘Lapan Tahun Membina, Lima Tahun Kemajuan – Ke Arah Negeri Sembilan Maju 2045’, manifesto yang menggariskan 10 komitmen utama itu turut menyatakan iltizam untuk menyediakan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi serta pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik.
Ia selaras hasrat kerajaan negeri melalui Malaysia Vision Valley 2.0 demi membina masa depan anak-anak Negeri Sembilan dengan asas pekerjaan yang lebih baik, gaji lebih bermaruah dan ekonomi lebih kukuh.
Mengambil contoh keharmonian pembangunan wilayah di Hokkaido di Jepun, Aminuddin berkata, beliau berhasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia.
“Ia menyaksikan kemajuan industri moden bergerak seiring dengan keindahan alam sekitar dan keunikan Adat Perpatih,” katanya.
Antara tawaran utama lain dalam manifesto berkenaan adalah pelaksanaan Pelan Ekonomi Negeri Sembilan 2045 serta pembangunan industri berteknologi tinggi melibatkan sektor semikonduktor, pusat data, ekonomi digital, logistik dan teknologi hijau.
Dalam aspek kebajikan, Skim Sejahtera Rakyat (SSR) akan diperkasakan menerusi pelbagai bantuan tunai secara sekali bayar yang merangkumi rakyat sejak lahir hingga usia emas.
Antaranya, caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM200 bagi bayi baru lahir, Bantuan Anak Sekolah sebanyak RM770, bantuan pelajar institusi pengajian tinggi antara RM500 hingga RM1,500 serta bantuan sara hidup pelajar universiti awam sebanyak RM2,400 setahun.
Graduan kelas pertama pula ditawarkan insentif RM5,000 manakala pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh semua A+ dan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 masing-masing menerima RM1,000.
Warga emas berusia 65 hingga 69 tahun pula diberikan bantuan sebanyak RM200 setahun manakala yang berusia 70 tahun ke atas dibantu sebanyak RM300.
Bagi sektor pendidikan, PH menawarkan pendidikan percuma kepada semua pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Yayasan Negeri Sembilan, program tuisyen percuma untuk keluarga B40 dan M40 serta Program Literasi Digital dan Kecerdasan Buatan untuk pelajar serta belia.
Manifesto berkenaan turut menumpukan soal pertanian moden dan keterjaminan makanan, memperkasakan perpaduan antara agama dan usaha pemerkasaan Adat Perpatih dengan penganjuran Perpatih Fest dan penyelarasan elaun bagi ketua-ketua adat. – UTUSAN
INFOGRAFIK:
MANIFESTO PH
5 Projek Berimpak Tinggi:
⦁ Pelabuhan Antarabangsa Baharu Port Dickson
⦁ Landasan Pintasan Senawang-Pelabuhan Klang
⦁ Seremban Sentral
⦁ Hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai
⦁ Pembinaan rumah kedua di lot kediaman Felda
⦁
⦁ *30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi
⦁
⦁ *20,000 unit rumah mampu milik
⦁
⦁ *Caruman SSPN RM200 – bayi baru lahir
⦁
⦁ *Bantuan Anak Sekolah – RM770
⦁
⦁ *Bantuan pelajar IPT- antara RM500 hingga RM1,500
⦁
⦁ *Bantuan sara hidup pelajar universiti awam – RM2,400 setahun










