Pelajar cemerlang Sabah terpaksa kahwin sebab miskin

Pelajar cemerlang Sabah terpaksa kahwin sebab miskin

SEVERINUS Tukah (dua kanan) bersama pelajar yang terpilih dalam program Kampung Angkat di Kampung Buayan, Penampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ada pelajar cemerlang di negeri ini terpaksa membuat keputusan berkahwin selepas tamat persekolahan kerana keluarga mereka tidak mampu untuk membiayai kos melanjutkan pengajian.

Perkara sebegitu adalah senario biasa yang boleh dilihat sehingga sekarang di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sabah.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Putrajaya, Severinus Tukah berkata, mengambil kira situasi sebegitu, mereka memutuskan untuk melaksanakan program Kampung Angkat di Kampung Buayan, Penampang.

“Program ini memang sudah lama kita rancang dan apabila Perdana Menteri menyebut tentang Kampung Angkat Madani, kami meneruskan rancangan untuk melaksana Kampung Ang­kat dengan membantu enam murid Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan yang berpotensi dalam pelajaran.

“Pada peringkat awal, kami rancang untuk melaksanakan program ini di Kampung Magandai, Kota Marudu tapi, apabila fikir kebanyakan ahli persatuan tinggal sekitar Penampang dan pulang bercuti semasa Krismas jadi, kami ubah lokasi program ke Kampung Buayan,” katanya ketika ditemui di Kampung Buayan baru-baru ini.

Menurut beliau, kebetulan ada ahli persatuan yang pernah ke kampung tersebut dengan berjalan kaki dulu dan sekarang kawasan ini sudah boleh diakses dengan menggunakan kende­raan.

Severinus berharap menerusi bantuan kewangan yang diberikan kepada enam pelajar yang terpilih itu akan membolehkan anak-anak berkenaan memberi fokus kepada pelajaran dan menyambung persekolahan di sekolah menengah.

Katanya, memandangkan kebanyakan ahli persatuan datang daripada keluarga yang miskin dan ibu bapa yang tidak berpelajaran maka, mereka mahu membimbing anak-anak daripada keluarga yang susah di SK Buayan untuk berjaya dalam pelajaran.

“Biar pun bantuan seba­nyak RM100 sebulan itu dalam keada­an sekarang tidak cukup tapi, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.

“Kami tidak memberi barang keperluan kerana ia secara bantuan sekali bayar dan selepas masak, habis begitu sahaja. Apa yang kami buat, kami mahu melihat kesan jangka panjang terhadap pembelajaran anak-anak ini. “Kita mahu melihat anak-anak ini berjaya dalam kehidupan agar mereka mampu menyumbang semula kepada masyarakat setempat yang begitu terasing daripada arus pembangunan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN