KUALA LUMPUR: Dunia Islam hari ini memerlukan lebih ramai ilmuwan yang bukan sahaja memiliki ketajaman ilmu dan kemampuan berhujah, malah berupaya menyatukan umat melalui hikmah, akhlak serta pendekatan yang sederhana dalam mendepani cabaran semasa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, nama Almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sememangnya tidak asing dalam dunia Islam.
Ini kerana beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang faqih yang mendalami khazanah turath, bahkan sebagai seorang mujaddid yang berjaya menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan realiti serta cabaran kehidupan moden.
Baginda turut menyeru institusi pengajian tinggi, badan penyelidikan serta agensi bahasa dan persuratan agar terus berganding bahu memperkukuhkan budaya membaca, menulis, berdialog, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan karya ilmiah yang berkualiti demi memperkasa pembangunan ilmu dalam negara.
Dalam masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan terhadap usaha memperkukuhkan Institut Pemikiran Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai sebuah pusat penyelidikan yang menghimpunkan para sarjana, penyelidik dan generasi muda untuk mengembangkan khazanah pemikiran Islam kontemporari.
Menyentuh aspirasi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sebagai sebuah universiti wakaf, baginda bertitah bahawa konsep tersebut bukan sekadar menjadi identiti institusi, malah merupakan manifestasi kepada kelangsungan budaya wakaf sebagai asas pembangunan ilmu, penyelidikan dan pembinaan modal insan.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniSIRAJ ketika berkenan berangkat menyempurnakan titah ucaptama di Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang juga Sasterawan Negara, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Mohd Salahuddin Mohamed.
Seminar tersebut dianjurkan secara kolaboratif oleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi meneliti, membincangkan dan menghayati gagasan pemikiran, sumbangan besar serta ijtihad fiqh kontemporari Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai antara tokoh ilmuwan Islam terkemuka dunia.- UTUSAN










