Stesen penyelidikan terapung mirip iglu mula misi teroka Artik - Utusan Malaysia

Stesen penyelidikan terapung mirip iglu mula misi teroka Artik

STESEN penyelidikan mirip iglu gergasi memulakan misi di Artik. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah stesen penyelidikan terapung mirip bentuk iglu aluminium gergasi mula belayar dari Perancis pada Ahad, bagi memulakan misi jangka panjang di Artik dengan hanyut bersama ais kutub dalam persekitaran yang paling ekstrem.

Iglu ialah panggilan untuk rumah yang berbentuk kubah untuk orang asli Eskimo di Artik.

Reka bentuk unik iglu aluminium itu dikenali sebagai Stesen Tara Polar membolehkannya menahan tekanan ais dan hanyut selama berbulan-bulan secara terkawal.

Ia mampu hanyut bersama litupan ais bagi meneroka kepelbagaian biologi dan impak perubahan iklim.

Meskipun kapal berkenaan dibina di Perancis, kira-kira 30 pusat penyelidikan dari 12 buah negara termasuk Jerman, Kanada, Sepanyol, Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Jepun turut menyertai ekspedisi berkenaan.

“Artik merupakan lautan yang masih kurang dikaji dan kini sedang mengalami transformasi serta perubahan yang amat ketara.

“Kita tidak akan dapat memahami persekitaran ini jika hanya meluangkan masa selama dua bulan sahaja dalam setahun di sini,” kata Pengarah Eksekutif Yayasan Tara Ocean, Romain Trouble.

Pelayaran makmal terapung itu dari pelabuhan Lorient di barat Perancis turut disaksikan oleh Menteri Laut Perancis, Catherine Chabaud dan disorak meriah oleh ratusan pengunjung yang berkumpul di tebing dermaga.

Makmal terapung yang direka berbentuk iglu di atas pelampung besar itu dibina khusus untuk menahan tekanan ais laut dan mampu bertahan dalam suhu ekstrem seawal – 52 darjah Celsius.

Bermula pertengahan Ogos ini, stesen berkenaan akan bergerak ke arah timur sepanjang pantai Russia dengan bantuan kapal pemecah ais bagi membuka laluan.

Sebaik sahaja terperangkap di dalam litupan ais hanyut menjelang awal September, stesen itu dijangka hanyut pada kelajuan purata 10 kilometer sehari, sebelum dijadualkan tiba di Selat Fram yang terletak di antara Greenland dan Svalbard menjelang penghujung 2027. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN