Maritim tahan vesel nelayan, empat kru warga Thailand termasuk tekong

Maritim tahan vesel nelayan, empat kru warga Thailand termasuk tekong

MARITIM Malaysia menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama empat kru warga Thailand termasuk tekong pada kedudukan kira-kira 11.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak semalam. - MARITIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama empat nelayan warga Thailand termasuk seorang tekong, semalam.

Vesel yang dinaiki kru berusia antara 28 hingga 44 tahun itu ditahan pada pukul 9 pagi di kedudukan kira-kira 11.8 batu nautika di barat Pulau Talang ketika kapal ronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan menerusi Op Sayong/Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris.

Pengarahnya, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Thailand.

Katanya, semakan dokumen mendapati vesel itu disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai selain menggunakan pukat dengan saiz mata kurang daripada 38 milimeter.

“Kesemua nelayan terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas ialah vesel berkenaan, kira-kira 150 kilogram hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Mohamad Shukri mengingatkan komuniti nelayan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen dan undang-undang perikanan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN