Najib disyaki terima wang rasuah untuk beli undi - SPRM

Najib disyaki terima wang rasuah untuk beli undi – SPRM

NUR AIDA Arifin (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sejumlah AS$681 juta yang disyaki wang rasuah untuk membeli undi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, wang itu diterima daripada Tanore Finance Corporation iaitu syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Kerajaan Arab Saudi melalui Falcon Private Bank Singapore pada 2013.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, AS$681 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, AmPrivate Banking di AmBank Berhad.

Menurut pegawai penyiasat tersebut, pihaknya turut menerima satu aduan lain bahawa Najib yang ketika itu Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB disyaki menerima suapan berjumlah RM3.2 bilion melalui dana pelaburan itu untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, pihak SPRM menerima aduan pertama pada 4 Mei 2015 manakala aduan kedua pada 17 Mei 2018.

Menurutnya, siasatan kemudian dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 akta sama berhubung kemasukan wang dalam jumlah yang besar ke dalam dua akaun peribadi beliau.

Nur Aida yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-49 menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan penyelewengan dana 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.

Dalam pernyataan saksinya, pegawai itu turut berkata, pelbagai dokumen diperoleh daripada pihak-pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi-institusi kewangan, Price Waterhouse Coopers (PwC) dan beberap agensi lain.

Selain itu, dokumen dari negara luar turut diperoleh termasuk dari Switzerland, Singapura, Barbados, Hong Kong dan Belanda.

Beliau turut menjelaskan, skop siasatan dibahagikan kepada empat fasa iaitu Good Star, Aabar, Tanore dan Options Buyback.

Hasil siasatan menunjukkan bekas Perdana Menteri mempunyai lima akaun bank dan satu akaun kad kredit yang mana semuanya dibuka di AmIslamic Bank Berhad.

Dalam pernyataan saksinya, Nur Aida turut menggariskan latar belakang pelantikan Najib dalam kerajaan selain mendedahkan keseluruhan gaji beliau yang mencecah RM78,451.74 sebulan.

Najib ketika itu menerima gaji RM58,605.15 sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta elaun sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Dewan Rakyat sebanyak RM19,846. 59.

Najib, 71, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya