MELAKA: Jangkitan kuman Tuberculosis (Tibi) pada bahagian otak sehingga menyebabkan Noor Syamimi Rohim, 33, hilang daya penglihatan, ingatan dan keupayaan berjalan sejak Oktober 2022, tidak memalapkan kasih sayang suaminya, Asdina Ariffin, 32.
Asdina tidak pernah putus asa menjaga isterinya dan perkongsian klip video melalui TikTok tentang musibah menimpa Noor Syamimi mendapat reaksi positif warganet.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Bertam Impian di sini, Asdina berkata, ingatan isterinya mula terjejas Julai 2022 dan keadaan semakin parah selepas menjalani pembedahan pemasangan tiub pada bahagian otak pada Oktober tahun sama.
Kata beliau, tujuannya berkongsi klip video menguruskan isteri bukanlah untuk menagih simpati, sebaliknya sebagai inspirasi dan panduan kepada orang ramai yang mungkin berdepan ujian sama.
“Siapa yang tidak sedih apabila isteri tiba-tiba tidak mengenali suaminya. Noor Syamimi sebelum ini sihat, aktif dan suka bergurau, tetapi dalam sekelip mata segalanya berubah.
“Saya reda dengan ketentuan ilahi, saya sentiasa berusaha dan berharap dia akan pulih dan memperoleh semula ingatannya, memori-memori kami sejak berkahwin pada 10 November 2018.
“Kesetiaan saya menjaganya adalah kerana Allah, selain menghargai pengorbanannya untuk saya dahulu,” katanya penuh sayu.
Satu daripada klip video dikongsikan Asdina ditonton sebanyak 3.9 juta kali di TikTok.
Katanya, sebarang perolehan dijana daripada perkongsian klip video berkenaan digunakan untuk membantu kelompok memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), kerana ia merupakan perkara lazim dilakukan Noor Syamimi sebelum ini.
“Tidak ada niat langsung, hendak tunjuk jadi suami yang baik tetapi platform itu digunakan sebagai motivasi agar yang sakit diberikan sokongan dan yang menjaga orang sakit diberikan semangat.
“Rezeki saya dapat dari TikTok saya sumbang kembali kepada mereka yang memerlukan termasuk OKU, kerana dahulu isteri memang suka membantu,” jelasnya. – UTUSAN










