Kerajaan benar tarif air naik 22 sen

Kerajaan benar tarif air naik 22 sen mulai 1 Feb.

Pengguna perlu membayar tarif air lebih tinggi ekoran kadar baharu yang diluluskan mulai 1 Februari ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan negeri-negeri Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan menaikkan tarif air sehingga 22 sen bagi setiap meter padu terhadap pengguna domestik bermula 1 Februari ini.

Ini merupakan kenaikan pertama membabitkan beberapa negeri sejak empat dekad khususnya Pahang yang masih mengekalkan tarif air sejak 42 tahun lalu manakala Pulau Pinang pula kali terakhir berbuat demikian pada 31 tahun lalu.

Bagaimanapun negeri tidak berhasrat mengkaji tarif baharu air kecuali Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sem­bilan, Pahang, Terengganu, Ke­lantan dan Labuan.

Jo­hor pula menunggu penjela­san Kerajaan Pusat terhadap ke­putusan tersebut manakala Melaka dan Perak sedang melakukan ka­jian terperinci perkara berkenaan.

Tarif air baharu itu, jika dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri akan melibatkan peningkatan bil air antara RM1.60 hingga RM8 sebulan bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu.

Sebelum ini, setiap penggunaan isi rumah dikenakan caj antara RM0.22 hingga RM0.88 untuk 20 meter padu dan kadar itu berbeza mengikut negeri-negeri dan jenis kediaman. Misalnya pengguna air di Pulau Pinang selepas ini perlu membayar caj minimum tarif berjumlah RM6.20/bulan (termasuk caj elektrik), berbanding RM2.50/ bulan (tarif lama).

Malah selama ini, para pengguna domestik di Lembah Klang membayar RM0.57/m3 bagi penggunaan air antara 0 hingga 20 meter padu manakala di Terengganu pula dikenakan RM0.42 bagi jumlah penggunaan sama.

Antara rasional kebenaran menaikkan tarif air itu adalah untuk menampung peningkatan kos operasi pengurusan apabila terdapat syarikat pembekalan menanggung hutang mencecah RM1 bilion dan persediaan menghadapi kesan perubahan iklim yang dijangka berlaku dalam beberapa tahun akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira permintaan kerajaan negeri termasuk Kelantan dan Kedah yang memohon agar menaikkan tarif air setelah berhadapan pertambahan kos pengurusan dan terdapat syarikat operasi bekalan air tidak berbuat demikian lebih 40 tahun.

Beliau menegaskan, hasil kenaikan purata sebanyak 22 sen itu bukan bertujuan keuntungan, sebaliknya 100 peratus diguna untuk menaik taraf paip dan membina loji air de­ngan SPAN memantau setiap sen yang diterima oleh syarikat operasi air.

“SPAN minta kepada semua 11 operator air bahawa mereka mesti menyatakan pelan rancangan untuk menggunakan hasil peningkatan tarif ini. Antaranya wang ini digunakan untuk menaiktaraf paip, seterusnya bina loji rawatan air. Ketiga tukar paip lama supaya elak masalah saluran paip pecah sekali gus mendedahkan pembaziran.

“Terakhir, untuk membeli peralatan untuk kerja-kerja dan operasi. Mereka mesti memberikan kita semua senarai bagaimana mereka akan menggunakan wang itu dan bila dimulakan serta tarikh siap projek. Oleh kerana itu, SPAN akan pantau setiap sen daripada kenaikan tarif ini.

“Ini bukan keuntungan operasi bekalan air, tetapi sebagai salah cara satu menaik taraf sistem air di seluruh negara bermula dari Perlis sehingga Johor termasuk Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, SPAN memaklumkan tarif air baharu akan dilaksanakan terhadap pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari depan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Suruhanjaya itu berkata, pelarasan tarif air itu dilaksanakan mengikut Meka­nisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Menurut SPAN, di bawah TSM struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Mengulas lanjut, Charles Anthony berkata, wang itu juga digunakan untuk melaksanakan rancangan persediaan perubahan iklim setelah seluruh dunia dijangka menghadapi masalah tersebut apabila diramalkan bahawa kemungkinan tiada hujan untuk tempoh dua bulan berturut-turut termasuk berlaku di Malaysia.

Justeru, katanya, keperluan penyelenggaraan perlu disegerakan dan tidak boleh dilengahkan kerana pembaziran air sering berlaku ekoran masalah paip pecah dan ditambah pula penggunaan air isi rumah terlalu tertinggi iaitu purata 230 liter setiap hari berbanding penggunaan sepatutnya 130 liter.

“Malah ada isi rumah yang mencapai penggunaan air 300 liter sehari. Jadi ia bermula daripada sekarang, tidak boleh dilengahkan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi. Tiada guna untuk tunggu tiga tahun lagi untuk melakukan persediaan sedangkan ketika itu air sudah tiada.

“Malah ada negara-negara Asia Tenggara sudah berdepan masalah ini, jadi kita perlu mengambil kira faktor ini untuk meneliti tarif air bagi menampung kos operasi bagi tujuan penyelenggaran,” katanya.

Dalam pada itu, Charles Anthony berkata, pihaknya memberi jaminan keputusan itu tidak membebankan 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun khususnya dalam kalangan B40.

Katanya, lapan daripada 11 operasi bekalan air telah menyatakan komitmen untuk memberi rebat dan inisiatif kepada golongan terlibat.

“Peningkatan tarif air ini tidak menjadi isu kepada orang ramai dan boleh diterima pengguna. Sebenarnya ia untuk kepentingan rakyat dan negara untuk menghadapi risiko dan masalah mendatang khususnya perubahan iklim. Ia demi merupakan pelaburan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN