SEREMBAN: Pengusaha kedai akuarium di negeri ini dinasihat untuk tidak memiliki dan menjual spesies ikan-ikan dilarang import yang memberi risiko mengganggu ekosistem sungai.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap kedai-kedai akuarium yang menjual ikan hiasan bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi.
“Pemeriksaan tersebut merupakan rutin dan kami akan memberikan taklimat kepada mereka. Jika semasa pemeriksaan berkenaan kami dapati mereka menjual ikan-ikan larangan import kepada orang awam, amaran terlebih dahulu diberikan.
“Seterusnya kami akan memberikan tempoh masa dan selepas itu apabila pemeriksaan seterusnya dan kami dapati pengusaha masih memiliki ikan-ikan tersebut, kami akan menyitanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Antara spesies ikan larangan import yang disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import Ikan) 1990 Pindaan 2011, Akta Perikanan 1985 termasuk Flower Horn, Aligator Gar, Pacu dan Arapaima.
“Ikan-ikan yang tersenarai ini dikhuatiri boleh mengganggu ekosistem sungai ekoran ikan ini bersifat agresif, cepat membiak dan membawa penyakit malah memakan ikan-ikan asli tempatan sekiranya terlepas ke perairan sungai sekali gus mengakibatkan ikan tempatan berkurangan,” katanya lagi.
Kasim dalam pada itu berkata, walaupun ancaman ikan-ikan ‘asing’ di perairan sungai Negeri Sembilan masih lagi terkawal, namun langkah pencegahan perlu sentiasa diambil.
“Sebelum ini kami ada jumpa ikan baung ekor merah, walaupun saiznya kecil, spesies ini juga memberikan ancaman kepada ikan-ikan tempatan,” katanya lagi. – UTUSAN










