Kawal aktiviti seni anak - Utusan Malaysia

Kawal aktiviti seni anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat menyarankan ibu bapa agar memantau dan mengawal aktiviti seni anak-anak yang berstatus bawah umur.

Kata beliau, tindakan itu perlu agar anak-anak mereka tidak dimanipulasi dan dieksploitasi untuk kepentingan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mereka tetap kanak-kanak yang perlu ke sekolah dan menikmati dunia kanak-kanak mereka. Tidak ada masalah untuk ibu bapa benarkan mereka bekerja dalam dunia seni pada usia muda, cuma perlu pemantauan dan kawalan.

“Saya tidak nafikan ada ibu bapa yang terlalu mengerah kerana mereka mahu anak-anak mereka glamor sampai mengabaikan pelajaran dan sebagainya. Ini salah sebenarnya.

“Jadi ibu bapa kena bertanggungjawab, tetapkan apa yang boleh dan tidak untuk anak-anak mereka lakukan, berapa tawaran nyanyian yang patut mereka persetujui untuk anak-anak dan sebagainya.

“Kalau ibu bapa mainkan peranan, isu buruh kanak-kanak dalam industri seni tak akan wujud,” katanya yang ditemui pada sidang media Bintang RTM baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas tentang isu buruh kanak-kanak yang wujud dalam dunia seni tanah air.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang sering menjurikan program nyanyian itu juga menyarankan ibu bapa agar memberi pendedahan seni kepada anak-anak
pada usia muda.

Katanya tindakan itu adalah sihat dan bagus untuk perkembangan minat di awal usia.

“Pendedahan seni di usia muda adalah perkara yang bagus. Tapi seperti saya katakan, perlu ada kawalan dan pemantauan.

“Pendedahan seni, muzik, nyanyian atau lakonan perlu diberikan seawal mungkin. Saya sendiri mula menyanyi pada usia sembilan tahun. Tapi ibu bapa kena ada sepanjang proses tersebut.

“Kita tak boleh halang minat anak-anak. Sebaliknya kena bagi dorongan dengan pemantauan dan kawalan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN